LONDON – Seorang nenek berusia 82 tahun yang mempunyai enam orang cucu merupakan penghantar akhbar tertua di Britain, lapor akhbar The Sun.
Pauline Bridge dari Southampton, England bangun seawal pukul 5 pagi setiap hari bagi melakukan penghantaran ke rumah-rumah pelanggannya.
Dia yang melakukan pekerjaan tersebut sejak 10 tahun lalu, bekerja selama enam hari seminggu dan bercadang meneruskan tugas itu sehingga usianya mencecah 90 tahun.
Nenek itu juga mengayuh basikal sejauh sekitar 8,046 kilometer (km) selama 10 tahun melakukan pekerjaan tersebut.
“Saya bangun pukul 5 setiap hari. Saya sukakannya dan ia membuatkan tubuh saya lebih sihat.
“Akhbar mula dihantar pada pukul 6.30 pagi sejauh 2.4km. Ia melibatkan 32 buah rumah. Saya mengayuh basikal pada setiap hari,” katanya.
Pauline mempunyai dua orang anak berusia 55 dan 52 tahun serta enam cucu berusia antara 17 hingga 27 tahun.
Cucunya, Megan, 17, berkata, neneknya tidak pernah gagal bangun awal pada setiap Isnin hingga Sabtu walau apa juga cuaca.
“Kami sukar percaya dengan apa yang masih dicapainya dan dia membuatkan kami orang muda berasa malu. Dia adalah seorang nenek yang mengagumkan dan kami berbangga dengannya,” katanya. – Agensi