MARAN – Banyak masa lapang ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mencetuskan idea dan kreativiti kepada seorang pemuda untuk ‘menghidupkan’ kembali sebuah motosikal Honda C-70 yang hanya tinggal rangka.
Hasil kreativiti pemuda berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Linguistik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berjaya menghasilkan motosikal menarik seolah-olah basikal berenjin di Jengka 8 di sini.
Muhammad Bahtiar Othman, 33, berkata, dia yang hanya belajar mengubah suai motosikal melalui YouTube mengambil masa kira-kira sebulan bagi menyiapkan motosikal dipanggil Moto-Sikal itu.
“Asalnya sebelum ini saya tidak terfikir hendak buat ini, tetapi apabila saya ternampak satu rangka motosikal dekat rumah yang tiada enjin jadi saya cuba buat carian di internet dan saya lihat ada sebuah motosikal seakan sama di Indonesia.
“Jadi saya mengambil rangka motosikal Honda C-70 ini dan saya ubah suai lebih baik lagi serta membeli enjin Honda EX5 terpakai sebelum mula mencipta motosikal ini dan alhamdulillah berjaya,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.
Menurut Muhammd Bahtiar, dia membelanjakan kira-kira RM2,000 bagi mencipta motosikal berkenaan yang disiapkannya dalam masa sebulan.
Katanya, motosikal berkenaan menarik perhatian kerana seolah-olah basikal yang dipasang dengan enjin kerana dia hanya menggunakan rangka Honda C-70 yang kemudiannya ditambah dengan enjin.
Beliau memberitahu, minyak petrol motosikal diletakkan pada tengah rangka motosikal yang boleh memuatkan hanya satu liter petrol dalam satu-satu masa.
“Motosikal ini saya guna untuk meronda di dalam kawasan kampung sahaja dan setakat ini ada yang bertanyakan sama ada saya menjualnya tetapi buat sekarang saya tidak berhasrat menjual,” ujarnya.-K! ONLINE