PETALING JAYA- Gabungan Kesihatan Malaysia (MHC) melahirkan rasa kecewa dengan Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengecualian) 2021 yang menaytakan Menteri Kabinet yang kembali dari lawatan rasmi luar negara perlu dikuarantin selama tiga berbanding dengan 10 hari kuarantin yang diwajibkan untuk rakyat biasa.
“Alasan yang diberi oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba tidak memberi maklumat atau penjelasan munasabah tentang sebab, sains, bukti atau fakta yang menyokong keputusan ini.
“Oleh itu, kami hanya mampu mentafsir pada nilai muka dan kami menentang Perintah Pengecualian ini sekuat-kuatnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ujarnya, Perintah Pengecualian ini menyebabkan ketidakadilan pada pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang melemahkan usaha untuk mengawal pandemik Covid-19.
“SOP yang tidak berpandukan sains dan bukti akan menghakis keyakinan terhadap SOP.
“Penguatkuasaan SOP dua darjat akan menyebabkan kepercayaan rakyat terhadap ahli politik semakin merosot. Profesional kesihatan tidak mampu melawan Covid-19 tanpa kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap sistem kesihatan,” ujarnya.
Terdahulu, tular di Twitter tanda pagar #AdhamBabaletakjawatan selepas Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 2 Februari dikeluarkan oleh Adham Baba disiarkan dalam portal rasmi e-Warta Persekutuan. -K! ONLINE