fbpx

Merompak, calon SPM dituduh di mahkamah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mahkamah Sesyen Majistret Selayang.

SELAYANG – Seorang remaja yang juga calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan melakukan rompak berkumpulan terhadap seorang pembuat kopi (barista) di sebuah perhentian bas bulan lalu.

Bagaimanapun, remaja berusia 17 tahun yang akan menduduki peperiksaan SPM pada 22 Februari ini mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Majistret Nur Hafizah Rajuni.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa bersama seorang yang masih bebas melakukan rompakan berkumpulan terhadap seorang lelaki berusia 19 tahun dengan mengambil telefon pintar jenis Huawei dan beg galas yang mengandungi barangan peribadi mangsa.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Hentian Bas Ekspress, Greenwood, Batu Caves, Gombak di sini pukul 6.36 pagi pada 20 Januari lalu.

Berikutan itu pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Nur Intan Syakieraah Zakaria menawarkan jaminan RM3,000.

Bagaimanapun, remaja itu yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah atas alasan dia masih bersekolah dan tinggal bersama ibu serta bapanya yang kini tidak bekerja.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, mahkamah kemudian membenarkan remaja itu diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin.

Tarikh 24 Mac ini ditetapkan untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI