fbpx

JIM tumpaskan sindiket orang tengah program rekalibrasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dua suspek dalang sindiket menipu warga asing program rekalibrasi ditahan JIM dalam satu operasi khas di Pulau Pinang pada 7 Februari lalu.

PUTRAJAYA –  Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan sindiket orang tengah program rekalibrasi dengan penahanan dua suspek dalang sindiket yang menipu warga asing dalam satu operasi khas yang dijalankan di Pulau Pinang pada 7 Februari lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, suspek lelaki tempatan dan seorang lelaki warganegara India masing-masing berumur 31 dan 35 tahun telah ditangkap kerana dipercayai mengatur penyertaan program rekalibrasi yang bertentangan dengan prosedur dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, suspek dipercayai mencari warga asing yang mempunyai kesalahan Imigresen dan

berjanji membawa mangsa ke pejabat Imigresen tertentu memandangkan mereka tidak dapat membuat slot temujanji melalui Sistem Temujanji Online (STO).

“Setiap warga asing dikenakan bayaran di antara RM1,000 hingga RM1,500 seorang sebagai bayaran kepada sindiket untuk menguruskan pendaftaran mereka dalam program rekalibrasi tanpa perlu membuat temujanji melalui STO seperti ditetapkan oleh JIM,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Khairul Dzaimee berkata, hasil risikan selama sebulan mendapati, sindiket itu dipercayai bergerak aktif di negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Terengganu, Kuala Lumpur dan Johor.

Beliau berkata, sebuah kereta jenis Honda City dan wang tunai sejumlah RM4,000 turut dirampas dalam operasi hasil kerjasama Bahagian Perisikan, Analisa dan Operasi Khas JIM Putrajaya bersama JIM Pulau Pinang.

“Kedua-dua dalang sindiket ini ditahan atas kesalahan di bawah Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

“Tahanan lelaki warga tempatan telah dikenakan reman selama tujuh hari manakala tahanan lelaki warganegara India ditahan di JIM Pulau Pinang untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.

Menurutnya lagi, dalam melaksanakan program rekalibrasi, JIM tidak pernah melantik orang tengah atau mana-mana pihak untuk menguruskan program ini.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak berurusan dengan orang tengah dan tidak menggunakan khidmat agen bagi menyertai program ini,” katanya. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI