JUARA Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) terus giat mempersiapkan pasukan menjelang aksi sepak mula Liga Malaysia 5 Mac depan dengan mengesahkan kehadiran penyerang import Argentina, Jonathan Herrera semalam.
Menurut rakaman video yang dikeluarkan oleh Johor Southern Tigers, penyerang berusia 30 tahun itu akan memakai jersi No. 9 apabila bersama skuad Harimau Selatan nanti.
“Selamat datang ke gelanggang juara,” kata status yang dimuat naik oleh laman Facebook rasmi itu semalam.
Sebagai rekod, kehadiran Herrera sudah disahkan oleh Pengarah Sukan JDT, Martin Prest pada 18 Januari lalu selepas percaya penyerang itu memiliki kesesuaian dengan falsafah bola sepak yang cuba diterapkan oleh pasukannya.
“Kami telah melihat beberapa pemain untuk melengkapkan pasukan dan pada akhirnya, kami memutuskan untuk menandatangani Herrera sebagai penyerang import kami.
“Kami percaya Herrera adalah pemain yang sesuai oleh kerana faktor umurnya dan cara dia bermain sesuai dengan corak permainan kami,” kata Prest sebelum ini.
Kehadiran Herrera sekali gus mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh penyerang utama JDT musim lepas, Diogo Luis Santo selain melengkapkan kuota import pasukan Harimau Selatan itu tahun ini.
Difahamkan, dua lagi pemain baharu akan diumumkan oleh pasukan kendalian Benjamin Mora itu dalam masa terdekat dan salah seorang daripadanya adalah bintang naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh.