SEBERANG PERAI – Seorang duda dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth di sini hari ini atas pertuduhan aniaya anak perempuannya berusia tujuh tahun sekitar November hingga Januari lalu.
Tertuduh berusia 44 itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim Norhayati Mohamed Yunus.
Mengikut pertuduhan, lelaki yang bekerja sendiri itu didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan cara menyentuh kemaluan anak kandungnya berusia tujuh tahun.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira pukul 10 malam di antara 15 November tahun lalu sehingga 20 Januari lalu di dalam bilik sebuah rumah di Butterworth di sini.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang dibaca bersama Seksyen 16 akta sama.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun, sebatan dan sebagai tambahan Seksyen 16 akta sama boleh dipenjara tidak lebih lima tahun dan tidak kurang dua sebatan. -K! ONLINE