fbpx

Dua lagi sekutu Jho Low dituntut LHDN bayar cukai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia memfailkan tuntutan terhadap dua bekas pegawai kanan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang juga sekutu Low Taek Jho atau Jho Low atas kegagalan membayar cukai pendapatan berjumlah RM9.3 juta selama sembilan tahun.

Kerajaan Malaysia selaku plaintif memfailkan saman dan pernyataan tuntutan itu melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) secara berasingan dengan menamakan
Casey Tang Keng Chee, 56, dan Jasmine Loo Ai Swan, 43, sebagai defendan di Mahkamah Tinggi di sini masing-masing pada 4 Disember 2020 dan 8 Januari lalu.

Casey dituntut LHDN untuk membayar sebanyak RM6.8 juta manakala Jasmine dituntut sebanyak RM2.5 juta.

Tarikh 8 Mac ini ditetapkan bagi pengurusan kes seterusnya bagi Casey di hadapan Timbalan Pendaftar Maslinda Selamat manakala 18 Februari ini pengurusan kes bagi Jasmine di hadapan Timbalan Pendaftar Farah Shuhada Ramli.

Berdasarkan pernyataan tuntutan yang dikemukakan terhadap Casey, Kerajaan Malaysia mendakwa bagi Tahun-Tahun Taksiran 2009 sehingga 2017, defendan telah ditaksirkan dengan Taksiran Tambahan masing-masing berjumlah RM260,560.26, RM473,004.48, RM1,600,810.12, RM257,694.20, RM1,074,455.28, RM1,428,296.28, RM701,285.00, RM310,502.16 dan RM57,866.40 melalui Notis-notis Taksiran (Tambahan) masing-masing bertarikh 30 September 2020.

Plaintif mendakwa Notis-notis Taksiran (Tambahan) itu telah dihantar secara Akaun Terima Berdaftar (A.R) kepada defendan pada 6 Oktober 2020 ke alamat terakhirnya di Taman Sri Endah, di sini yang diketahui oleh plaintif pada masa itu dan notis berkenaan telah diterima dan ditandatangani melalui pengembalian semula kad kuning A.R.

Menurut plaintif lagi, seterusnya lebihan kredit sebanyak RM972.00 telah digunakan dan ditolak sebagai sebahagian bayaran cukai pendapatan bagi Tahun Taksiran 2009 (Tambahan) itu, meninggalkan baki yang masih terhutang dan perlu dibayar sebanyak RM259,588.26 bagi tahun taksiran berkenaan.

Berikutan itu, plaintif menuntut defendan perlu membayar kesemuanya berjumlah RM6,779,852.36, faedah lima peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga tarikh realisasi, kos dan lain-lain relif yang disifatkan sesuai oleh mahkamah.

Sementara plaintif dalampernyataan tuntutan terhadap Jasmine, mendakwa bagi Tahun-Tahun Taksiran 2012 dan 2014, defendan telah ditaksirkan dengan Taksiran Tambahan masing-masing berjumlah RM1,495,366.08 dan RM571,979.72 melalui Notis-Notis Taksiran (Tambahan) masing-masing bertarikh 19 Oktober 2020.

Plaintif mendakwa Notis-notis Taksiran (Tambahan) itu telah dihantar secara pos berdaftar kepada defendan pada 18 November 2020 ke alamat terakhirnya di Damansara Heights, di sini yang diketahui oleh plaintif pada masa itu, namun notis berkenaan tidak pernah dikembalikan kepada plaintif.

Menurut plaintif, bagi Tahun Taksiran 2016, defendan telah ditaksirkan dengan cukai pendapatan berjumlah RM75,292.96 melalui Notis Taksiran bertarikh 19 Oktober 2020 dan dihantar secara pos berdaftar kepada defendan pada 18 November tahun sama ke alamat sama, namun notis itu tidak tidak pernah dikembalikan kepada plaintif.

“Defendan juga gagal mengemukakan Borang-borang Nyata Orang Perseorangan di bawah Seksyen 77 Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi Tahun-tahun taksiran 2017 dan 2018 kepada plaintif dalam tempoh masa ditetapkan iaitu pada atau sebelum 30 April 2018 dan 30 April 2019.

“Satu taksiran berjumlah RM76,510.72 dan RM50,062.40 (termasuk penalti di bawah Seksyen 112(3) Akta Cukai Pendapatan 1967) telah dibangkitkan melalui Notis-notis Taksiran bertarikh 19 Oktober 2020 dan Notis-notis Taksiran bagi 2017 dan 2018 yang telah dihantar ke alamat terakhir defendan juga tidak pernah dikembalikan kepada plaintif,” katanya.

Justeru plaintif menuntut cukai pendapatan defendan yang masih terhutang kesemuanya berjumlah RM2,496,133.05, faedah lima peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga tarikh realisasi, kos dan lain-lain relif yang disifatkan sesuai oleh mahkamah. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI