fbpx

Bertukar karakter apabila pegang stereng kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
AZIMI MUSTAPHA, PENGARANG BERITA KOSMO!

UMUM mengetahui rakyat Malaysia kaya dengan budi bahasa dan sifat sopan santun yang tinggi bukan sahaja oleh penduduk negara ini, malahan dalam kalangan pelancong asing yang berkunjung ke sini.

Namun, sopan santun dan sikap berhemah tinggi itu hilang sekelip mata apabila kebanyakan daripada kita memegang stereng ketika memandu, seolah-olah dunia ini kita yang punya.

Contoh terbaharu hilangnya adab sopan ketika memandu adalah video tular seorang kakitangan sebuah pusat pengajian tinggi yang mengeluarkan kata-kata kesat kepada pengguna jalan raya lain baru-baru ini.

Berdasarkan video kejadian yang dikongsi seorang pemandu, wanita tersebut dilihat membuat pusingan-U sebelum dibunyikan hon oleh pemandu berkenaan.

Wanita berkenaan kemudian memandu ke sebelah kereta pemandu itu dan seterusnya mengeluarkan kata-kata kesat.

Bagaimanapun, dia kemudian memohon maaf atas tindakannya itu.

Mungkin kebanyakan daripada kita ada masalah peribadi, selain stres di tempat kerja menyebabkan bertindak sedemikian.

Namun, ia bukan alasan untuk bertindak semborono tanpa memikirkan baik buruknya perbuatan itu.

Perlu diingat, pada zaman media sosial sekarang, setiap tindakan kita mungkin dirakam dan jika ini terjadi, sudah pasti akan memalukan bukan sahaja diri sendiri, malahan keluarga juga terpalit sama.

Justeru, sebelum bertindak fikir-fikirkanlah natijah yang bakal dihadapi nanti.

Dalam pada itu, antara sikap buruk lain yang ditunjukkan kebanyakan pemandu di negara ini ketika memegang stereng adalah suka memandu laju, menggunakan telefon pintar, menukar lorong sesuka hati yang kesemuanya boleh membahayakan pengguna lain dan menyebabkan berlaku kemalangan.

Seorang rakan penulis pernah berkata, sesetengah pemandu bila pegang pengemudi atau stereng, mereka berasakan diri sebagai pemandu kereta lumba.

Paling tidak tahan, ada pemandu yang mementingkan diri sendiri dengan memandu lambat bagai kura-kura di lorong kanan yang dikhaskan untuk pemanduan laju.

Ini bukan sahaja memberi tekanan serta menyusahkan pemandu lain, malah boleh mengundang bahaya.

Mungkin pemandu di belakangnya sudah beberapa kali memberi isyarat dengan menyalakan lampu tinggi atau membunyikan hon bagi memintanya menukar lorong, sikap mementingkan diri sendiri menyebabkan pemandu santai ini terus memandu perlahan tanpa mempedulikan deretan kenderaan di belakangnya.

Semakin ramai pemandu lupa bagi kawasan yang mempunyai jalan tiga lorong, peraturan ditetapkan iaitu lorong kiri sekali untuk kenderaan perlahan, tengah pada had laju biasa dan paling kanan untuk memotong.

Sebenarnya, bukan memandu melebihi had laju sahaja membahayakan pengguna jalan raya, tetapi tindakan memandu perlahan di lorong kanan juga boleh mencetuskan kejadian tidak diingini, termasuk pergaduhan dalam kalangan pemandu yang hilang sabar.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI