ALOR SETAR – Persatuan Pengguna Kedah (Cake) mengingatkan peniaga dan penjaja kecil di negeri ini supaya berhati-hati dengan peminjam wang tanpa lesen yang dilihat semakin aktif menawarkan pinjaman kepada golongan itu sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan tahun lalu.
Setiausahanya, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, pihaknya menerima aduan daripada pengguna yang mendakwa tertekan kerana diburu ceti haram disebabkan kegagalan membayar balik pinjaman mengikut jadual yang ditetapkan.
“Biasanya Cake menerima lebih 50 aduan berkaitan ah long dalam masa setahun, namun sejak PKP dilaksanakan pada tahun lalu jumlah aduan meningkat kira-kira 30 peratus,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan muka depan Kosmo! semalam yang melaporkan lebih 200 daripada 1,200 peniaga dan penjaja kecil yang berdaftar di negeri ini terpaksa mengambil jalan singkat dengan membuat pinjaman ah long.
Tindakan itu dibuat selepas mereka mendakwa kehabisan modal ekoran kekurangan pendapatan sejak pelaksanaan PKP pada Mac tahun lalu.
Mengulas lanjut, Mohamad Yusrizal memberitaju, kegiatan ah long dilihat amat licik apabila mereka turun padang menawarkan pinjaman mudah dan segera kepada para peniaga.
“Ada ah long yang datang ke kedai untuk menawarkan pinjaman, malah ada juga yang mencadangkan supaya membuat pinjaman dengan ceti haram lain.
“Ia diibaratkan gali lubang tutup lubang yang mana akhirnya membebankan peniaga,” katanya.
Cake turut menerima aduan seorang peniaga yang membuat pinjaman RM5,000 dan terpaksa membayar semula tiga kali ganda.
Dalam pada itu, Cake turut menerima aduan pengguna meminjam RM5,000 untuk membeli peranti bagi membolehkan anaknya mengikuti pembelajaran online.
“Saya harap pengguna agar lebih berhati-hati dan tidak terjebak dengan bebanan hutang yang akhirnya menyusahkan diri dan keluarga,” katanya.-K! ONLINE