fbpx

100 buah hospital sudi rawat pesakit Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

PUTRAJAYA – Sebanyak 100 buah hospital swasta sudah menyatakan kesediaan merawat pesakit Covid-19 di hospital mereka sendiri, setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sebelum ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah ada kerjasama dengan 210 buah hospital swasta di seluruh negara.

Namun, katanya, kementerian mengenal pasti hanya ada 129 buah hospital swasta yang mempunyai keupayaan dan kepakaran perubatan dalaman bagi merawat pesakit Covid-19.

“Bagaimanapun, setakat ini, hanya 100 hospital swasta sudah menulis surat kepada KKM dan menyatakan persetujuan untuk bekerjasama dan merawat pesakit Covid-19.

“Kerjasama fasa pertama KKM dengan hospital swasta adalah kita akan menghantar pesakit bukan Covid-19 untuk dirawat di hospital itu dan rawatan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan,” katanya.

Katanya, kerjasama ini sudah dimulakan sejak gelombang kedua lagi.

Noor Hisham berkata, menerusi kerjasama bagi gelombang ketiga ini, KKM sudah pun memperoleh peruntukan bagi menampung pesakit bukan Covid-19 yang dipindahkan ke hospital swasta.

Menurutnya, tahun lalu sahaja, KKM sudah merujuk 3,760 pesakit ke hospital swasta membabitkan keseluruhan 46 jenis penyakit untuk dirawat.

“Bagaimanapun, kali ini jika mereka (hospital swasta) mengesan kes positif Covid-19, mereka tidak perlu rujuk kepada hospital kerajaan sebaliknya boleh merawat sendiri pesakit.

“Selain itu, kami juga ada permintaan daripada pesakit Covid-19 yang mahu mereka mendapat rawatan di hospital swasta khususnya dalam kalangan espatriat dan ahli perniagaan. Bagi kes ini, mereka boleh tanggung sendiri kos rawatan,” katanya.

Katanya lagi, kementerian juga sedang mempertimbangkan sama ada syarikat insurans boleh bayar atau tidak jika pesakit tidak mahu ke hospital swasta.

Selain itu, Noor Hisham berkata, kerjasama lain yang difikirkan adalah kementerian akan menempatkan pesakit kritikal Covid-19 ke hospital swasta sekiranya katil unit rawatan rapi (ICU) di hospital KKM tidak mencukupi. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI