PETALING JAYA – Sebanyak 18 buah taman perumahan di Bandar Muadzam Shah, Rompin, Pahang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 9 sehingga 22 Februari 2021.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan itu diambil berikutan terdapat peningkatan kes Covid-19 di Bandar Muadzam Shah melibatkan komuniti di taman perumahan terbabit.
“Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan sebanyak 13 kes positif direkodkan dalam Kluster Hikmah melibatkan jemaah Masjid Al-Muadzam Shah serta ahli keluarga yang tinggal di taman-taman perumahan ini.
“KKM turut mengesahkan terdapat peningkatan secara mendadak melibatkan komuniti di mana 13 kes tersebut telah direkodkan dalam masa 10 hari.
“Bagaimanapun, PKPD ini tidak akan melibatkan Bandar Satelit. PKPD ini akan melibatkan seramai 9,805 penduduk dan 2,178 buah
rumah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ismail Sabri berkata, taman perumahan terbabit adalah Desa Bidara, Desa Keranji, Taman Redan Perdana, Desa Teratai, Desa Melor, Desa Mawar 1, Desa Mawar 2, Desa Jati 1, Desa Jati 2, Desa Anggerik, Desa Kenanga dan Desa Tanjung.
Menurut beliau, taman perumahan lain terlibat dengan PKPD di Bandar Muadzam Shah adalah Desa Dahlia 1, Desa Dahlia 2, Desa Cempaka, Desa Alamanda, Pinggir Pelangi dan Desa Semarak. – K! ONLINE