BERLIN – Seorang pelombong Bitcoin enggan memberikan kata laluan bagi 1,700 Bitcoin yang dirampas daripadanya kepada pihak pendakwa raya, lapor akhbar South China Morning Post baru-baru ini.
Berdasarkan nilai semasa Sabtu lalu, Bitcoin berkenaan dianggarkan bernilai AS$67.9 juta (RM275.9 juta).
“Kami telah meminta kata laluan itu tapi dia enggan memberinya. Mungkin dia tidak tahu,” kata pendakwa raya, Sebastian Murer Jumaat lalu.
Pelombong Bitcoin dari Kempten, Bavaria itu yang tidak dinamakan dalam laporan dijatuhkan hukuman penjara kira-kira dua tahun.
Dia didapati memasang aplikasi pelombongan Bitcoin pada komputer orang lain dan menggunakannya secara kawalan jauh untuk aktiviti tersebut.
Dompet digital tersebut mustahil untuk dibuka tanpa kata laluan diperlukan.
Bulan lalu, seorang lagi lelaki di Jerman kehilangan kata laluan bagi Bitcoin miliknya yang dianggarkan bernilai AS$220 juta (RM894 juta).
Seorang lelaki dari Newport, Wales pula secara tidak sengaja membuang komputer yang mengandungi kira-kira 7,500 Bitcoin bernilai kira-kira AS$275 juta (RM1.1 bilion).
Bitcoin dengan nilai kira-kira AS$140 bilion (RM569 bilion) atau 20 peratus daripada kesemua Bitcoin terdampar di dompet digital kerana pemiliknya kehilangan kata laluan, menurut akhbar The New York Times. – Agensi