KOTA BHARU – Seorang pengurus operasi di sebuah gedung pakaian terkejut apabila dia menemui sebutir peluru hidup di hadapan premisnya di Kubang Kerian di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, peluru jenis 5.56 PS83.06 itu dipercayai tercicir di hadapan premis berkenaan kira-kira pukul 6.30 petang.
Katanya, pengurus terbabit yang berusia 35 tahun itu melihat peluru tersebut di atas jalan di hadapan pintu premisnya sebelum menghubungi pihak polis.
“Sebaik menerima laporan, sepasukan polis dihantar ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan berhubung penemuan peluru itu.
“Hasil siasatan awal mendapati, peluru itu digunakan untuk menjalani latihan dan mengesyaki tercicir di kawasan itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Abdul Rahim berkata, setakat ini, tiada sebarang kejadian mencurigakan yang boleh dikaitkan dengan penemuan peluru tersebut.
Katanya, polis telah mengambil peluru itu untuk siasatan lanjut.
Tambahnya, beliau meminta orang ramai yang tercicir peluru atau mempunyai sebarang maklumat menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut. -K! ONLINE