JERANTUT – Ketika murid-murid di kawasan bandar berjaya mengadaptasikan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dengan baik namun sebaliknya keadaan di kawasan luar bandar amat berbeza.
Bagi murid-murid Orang Asli etnik Bateq di Kuala Tahan di sini tiada gunanya pelaksanaan kaedah berkenaan memandangkan mereka bukan sahaja tidak mempunya telefon pintar malah talian internet pun tiada.
Seorang kanak-kanak Orang Asli Bateq Kampung Teresek, Khairul Ameng, 10, berkata, dia dan rakan sekampungnya tidak dapat menggunakan kaedah PdPR kerana tidak mempunyai telefon pintar atau komputer selain mengalami masalah talian internet.
Justeru katanya dia dan rakan-rakannya hanya berkumpul dan membuat latihan disediakan guru walaupun sememangnya amat berharap dapat mengikuti kaedah PdPR seperti kanak-kanak lain.
“Apakan daya keadaan kami di sini mundur dan tiada talian jadi inilah sahaja yang dapat dibuat, saya juga mengajar rakan lain yang belum mahir membaca dan menulis.
“Saya tetap bersemangat untuk belajar walaupun kekurangan serba serbi kemudahan kerana pelajaran penting untuk mengubah kehidupan keluarga kami pada masa akan datang,” katanya di sini, baru-baru ini.
Dalam pada itu seorang penduduk Orang Asli Kampung Yong di sini, Limau Jambu, 58, berkata, dia yang hanya bekerja mencari sumber hutan untuk membeli beras dan tembakau sememangnya tidak mampu membeli telefon pintar dan juga komputer.
Katanya, keadaan itu menyebabkan anak-anak mereka ketinggalan dan tidak dapat mengikuti pembelajaran ekoran daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyaksikan tiada pembelajaran secara bersemuka.
“Kita berharap kerajaan dapat menimbangkan kemudahan peralatan belajar tertentu yang sesuai di semua penempatan Orang Asli khususnya anak kami tidak menjadi generasi yang ketinggalan ilmu pada masa akan datang,”katanya.
Sementara itu seorang penjaga Roslan Abu Kasim,57, berkata, dengan keadaan talian internet yang tidak stabil menyebabkan ibu bapa yang tinggal di kampung berasa tertekan apabila melihat anak-anak mereka merungut dan tidak dapat belajar.
Dia yang mempunyai dua orang anak yang belajar dalam darjah empat dan darjah 5 berharap kaedah lain dilakukan pihak sekolah seperti penggunaan WhatsApp dan penggunaan buku teks serta latihan.
“Saya sudah bercakap dengan guru sekolah supaya buku teks dapat diberikan kepada murid-murid dan gunakan kaedah pembelajaran manual yang mana penjaga akan mengambil buku dan latihan di beri atau melalui WkhatsApp tetapi guru ini kata mereka mengikut arahan ditetapkan,”katanya yang berasal dari Kampung Kuala Tahan di sini. -K! ONLINE