fbpx

Notis amaran bukannya kompaun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NOTIS amaran yang dikeluarkan MPK sebelum tular di media sosial mendakwa pemilik rumah dikompaun gara-gara adakan kelas al-Quran.

KLUANG – Majlis Perbandaran Kluang (MPK) menafikan pihaknya mengeluarkan kompuan terhadap seorang pemilik rumah kerana menganjurkan kelas pengajian al-Quran sekaligus melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19, baru-baru ini.

Unit Komunikasi Korporat dan Kemasyarakatan MPK dalam kenyataan berkata, sebaliknya MPK mengeluarkan notis amaran sebagai langkah untuk memberi peringatan dalam mengekang penularan virus berkenaan.

Menurutnya, tindakan itu diambil susulan aduan yang diterima daripada orang awam yang gusar berkaitan aktiviti itu yang diadakan di kejiranan mereka sepanjang tempoh perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“MPK ingin merujuk kepada satu isu tular yang telah disebarkan melalui laman media sosial Facebook dan juga aplikasi WhatsApp berkenaan seorang pemilik rumah yang telah dikenakan tindakan kerana menjalankan aktiviti kelas pengajian al-Quran di rumah kediaman semasa PKP.

“Kegusaran ini berlaku disebabkan kelas diadakan secara berkumpulan atau ramai dan tidak mematuhi SOP yang telah dikeluarkan kerajaan.

“Hasil siasatan mendapati pemilik rumah tersebut mengaku telah mengadakan kelas al-Quran dengan melibatkan tenaga pengajar yang hadir ke rumahnya dan terdapat tujuh murid yang terdiri daripada anaknya serta juga jiran yang dianggarkan seramai tujuh orang pada setiap sesi,” katanya.

Menurut kenyataan itu, notis amaran itu dikeluarkan kepada pemilik rumah sebagai langkah mencegah berlakunya apa-apa penyakit berjangkit, boleh berjangkit atau boleh dicegah.

“MPK ingin menegaskan sekali lagi bahawa hanya notis amaran yang telah dikeluarkan kepada pemilik dan bukan tindakan kompaun sebagaimana yang telah ditularkan.

“MPK sekali lagi ingin mengingatkan kepada orang ramai untuk bersama-sama mematuhi SOP yang telah dikeluarkan Oleh kerajaan sebagai langkah membendung penularan wabak Covid-19,” katanya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI