MELAKA – Seorang wanita bingung selepas ditipu sebanyak RM19,618 gara-gara ingin membuat pinjaman peribadi berjumlah RM20,000 menerusi satu laman web yang dilayarinya bulan lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Melaka, Superintendan E. Sundra Rajan berkata, mangsa berusia 23 tahun itu yang juga merupakan pemilik sebuah syarikat katering telah melayari satu laman web untuk membuat pinjaman pada 29 Januari lalu.
Katanya, mangsa kemudian telah berurusan dengan seorang lelaki berbangsa Cina di laman tersebut yang memperkenalkan diri sebagai Kelvin sebelum berhubung menerusi aplikasi WhatsApp.
“Hasil perbincangan, mangsa bersetuju untuk membuat pinjaman peribadi berjumlah RM20,000 dan individu terbabit meminta wanita tersebut membuat bayaran bagi tujuan duti setem serta kelulusan pinjaman.
“Mangsa kemudian telah membuat pindahan wang ke dalam lima akaun bank berbeza dengan jumlah keseluruhan RM19,618 pada tarikh antara 31 Januari sehingga 5 Februari lalu,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Tambahnya, mangsa bagaimanapun mendakwa dia tidak menerima wang pinjaman seperti yang dijanjikan suspek setelah pembayaran tersebut dibuat.
Sundra berkata, mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas suspek masih memintanya untuk memasukkan wang sebelum membuat laporan di Balai Polis Masjid Tanah, Alor Gajah pada 5 Februari lalu.
“Hasil semakan pihak polis ke atas salah satu nombor akaun bank yang digunakan suspek mendapati, ia bersangkut paut dengan lapan laporan menggunakan modus operandi sama.
“Kerugian yang dialami secara kumulatif telah mencecah RM71,739 melibatkan kesemua lapan mangsa,” katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.-K!ONLINE