SEBERANG PERAI – Seorang lelaki berdepan detik cemas apabila seorang bekas jiran datang ke rumahnya di Sungai Semambu, Bukit Mertajam dalam keadaan berang dan mengamuk awal pagi semalam.
Lelaki itu dikatakan pergi ke rumah mangsa berusia 30 tahun tersebut sambil membawa selaras senapang angin kira-kira pukul 1 pagi sambil menuduh mangsa mempunyai skandal dengan isterinya.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd. Samad berkata, mangsa yang bekerja sebagai operator kilang itu menyedari kehadiran suspek selepas dia memecahkan cermin tingkap nako rumah.
“Ketika pengadu (mangsa) membuka pintu, suspek yang berada di hadapan rumahnya telah mengacukan senapang angin ke arah lelaki itu.
“Suspek meminta pengadu mengaku pernah melakukan hubungan seks dengan isterinya, namun perkata itu dinafikan sebelum dia melepaskan dua das tembakan amaran (ke udara),” katanya kepada pemberita hari ini.
Shafee berkata, suspek kemudiannya beredar dari rumah mangsa dan sempat mengeluarkan kata-kata ugutan akan membunuh lelaki itu sekiranya dia membuat laporan polis.
“Supek berusia 30-an itu bagaimanapun telah berjaya ditahan polis semalam dan polis turut merampas selaras senapang angin.
“Siasatan polis mendapati mereka sebelum ini berjiran selang beberapa rumah sebelum suspek berpindah keluar dari kawasan perumahan kampung itu pada april April tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE