KLUANG – Seorang lelaki ditemui maut selepas dihempap jentera forklift dipandunya dalam kejadian di Jalan Parit Hasyim, Kampung Parit Hasyim awal pagi hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.15 pagi itu, mangsa yang ditemui tiada pengenalan diri dan dipercayai warga asing berusia lingkungan 28 tahun.
Menurut Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Shalneeraj Abdullah, sejurus pihaknya menerima panggilan kecemasan, sebuah jentera FRT dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam dengan kekuatan keseluruhan seramai lapan anggota dihantar ke tempat kejadian.
“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi kejadian, didapati benar berlaku kemalangan jalan raya melibatkan sebuah jentera berat jenis forklift telah terbabas sendiri dan menghempap pemandunya.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Shalneeraj berkata, PKO bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan ‘Rescue Tools” sebelum mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Katanya, operasi ditamatkan pada pukul 4.50 pagi.-K! ONLINE