KHABAR duka menyelubungi industri perfileman Hollywood apabila pelakon veteran berbakat besar, Christopher Plummer meninggal dunia pada usia 91 tahun di kediamannya di Connecticut, Amerika Syarikat.
Ketika hayatnya, pemilik nama penuh Arthur Christopher Orme Plummer itu digambarkan sebagai seorang pelakon yang memiliki dedikasi tinggi terhadap kariernya sebagai pemain layar lebar.
“Chris (panggilannya) merupakan seorang lelaki luar biasa yang sangat mencintai dan menghormati profesionnya dengan rasa rendah diri, tertib dan bersungguh-sungguh.
“Dia merupakan harta yang sangat bernilai dan kita semua telah kehilangannya,” kata teman rapat yang juga pengurusnya, Lou Pitt.
Dilahirkan pada tanggal 13 Disember 1929 di Toronto, Kanada, Plummer merupakan cicit kepada bekas Perdana Menteri ketiga negara tersebut, Jon Abbott.
Pelakon yang sangat digilai kerana ketampanan wajahnya ketika muda itu memulakan karier selepas menamatkan alam persekolahan sekitar 1946 melalui pementasan teater dengan menyertai kumpulan teater bangsawan, Montreal Repertory Theatre.
Bakatnya dikesan oleh seorang pengkritik teater, Herbert Whittaker sebelum Plummer membuat kemunculan perdana menerusi televisyen pada 1953 bersama produksi Canadian Broadcasting Corporation.
Sehinggalah namanya semakin menyinar apabila berjaya membina nama di Hollywood.
Sayap lakonan aktor itu semakin lebar setelah membintangi filem muzikal, The Sound of Music pada 1965 dengan memegang watak Kapten Von Trapp, sekali gus mencipta fenomena tersendiri selepas naskhah berkenaan ‘meletup’ dengan jayanya. Dia berjaya membawa pulang lima anugerah Academy Awards (Oscar).
Pada 2009, Plummer pernah mengeluarkan kenyataan apabila mula berasa bosan selepas peminat hanya mengingati wataknya sebagai Kapten Von Trapp.
“Saya sedikit bosan dengan watak itu walaupun kami bekerja keras untuk menjadikannya menarik.
“Dia bukanlah diri saya yang sebenar, namun saya berjaya menjadikan filem tersebut sebagai sebuah naskhah untuk keluarga,” katanya yang turut meraih sukses menerusi deretan karya lain seperti The Man Who Would Be King, Sherlock Holmes dan Murder by Decree.
Plummer buat pertama kali tercalon dalam anugerah Oscar pada 2009 menerusi kategori Pelakon Terbaik bagi filem The Last Station.
Bercakap kepada Canadian Broadcasting Corporation, Plummer memberitahu bahawa dia sangat terharu dengan pencalonan tersebut selepas berpuluh-puluh tahun berkecimpung dalam industri perfileman Hollywood.
“Ini semua tentang masa. Maksud saya pada usia 80 tahun, akhirnya Tuhan memberikan sesuatu yang istimewa untuk karier saya,” katanya yang bagaimanapun tewas kepada pelakon Christoph Waltz.
Dua tahun kemudian, rezeki memihak kepada lelaki itu apabila dia berjaya membawa pulang trofi Pelakon Pembantu Terbaik menerusi filem Beginners.
Kemenangannya mencipta rekod tersendiri apabila menjadi pelakon tertua pernah memenangi Oscar iaitu pada usia 82 tahun.
Tidak terhenti di situ, aktor berjiwa besar itu sekali lagi mencipta rekod apabila tercalon bagi kategori Pelakon Pembantu Terbaik menerusi filem All The Money in The World pada usia 88 tahun.
“Kini semuanya tinggal kenangan. Dia meninggalkan kita semua dalam keadaan baik,” kata Elaine Taylor yang merupakan isteri daripada perkahwinan keduanya.
Biarpun punca sebenar kematian legenda itu tidak diketahui, namun Pitt memberitahu kemungkinan Plummer meninggal akibat kecederaan pada kepalanya yang terhantuk setelah terjatuh.
“Kehidupan Plummer sebagai pelakon legenda ternama akan menjadi suri teladan untuk generasi akan datang.
“Dia akan selalu bersama kita semua,” ujar Pitt.