fbpx

Kilang ayam utama tutup di Melaka, bekalan mencukupi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menegaskan situasi bekalan barangan keperluan, khususnya ayam daging adalah terkawal sehingga hari ini berhubung penutupan salah satu kilang pengeluar ayam utama di Melaka selepas seramai 604 pekerja disahkan positif Covid-19.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, bagi mengatasi risiko gangguan bekalan ayam pedaging, sebuah kilang pengeluar ayam di Pedas, Negeri Sembilan telah dilibatkan dan diarahkan untuk membantu memproses pengeluaran ayam pedaging bagi tujuan kelangsungan pengedaran bekalan.

“Kilang tersebut membekalkan ayam pedaging untuk Semenanjung Malaysia tidak termasuk Sabah Sarawak. Jumlah pengeluaran sebelum penutupan operasi kilang adalah sebanyak 150,000 ekor ayam pedaging sehari.

“Selepas arahan penutupan kilang oleh Kementerian Kesihatan (KKM) pada 2 Februari lalu, pengeluaran ayam pedaging tidak dapat diteruskan untuk suatu tempoh sementara sahaja,” katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau harga barang di Pasar Borong NSK Kuchai Lama, di sini hari ini.

Menurutnya, pengeluaran bekalan ayam daging tetap stabil dengan pengeluaran oleh kilang-kilang pengeluar ayam lain yang masih beroperasi seperti biasa.

“Bekalan ayam pedaging dan telur masih boleh diedarkan kepada lebih kurang 500 pemborong. Produktiviti pengeluaran buat masa kini adalah stabil dan memenuhi keperluan pasaran.

“Kementerian berterusan mengadakan libat urus dengan pihak industri ayam pedaging dan penelur bagi menyelia operasi pengeluaran untuk menjaga kestabilan bekalan ayam dan telur dari masa ke semasa,” jelasnya.

Terdahulu, seramai 604 individu disahkan positif Covid-19 di sebuah ladang dan kilang memproses ayam di Jasin, Melaka sejak saringan dilakukan pada Isnin lalu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI