fbpx

Jiwa Firdaus juara pertama Mic On!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JIWA FIRDAUS

SELEPAS berentap selama 12 minggu di pentas Mic On!, akhirnya Muhammad Firdaus dinobatkan sebagai juara sulung rancangan tersebut pada 29 Januari lalu.

Kemenangan Muhammad Firdaus atau nama pentasnya, Jiwa Firdaus sekali gus mengenepikan lima lagi peserta lain yang turut memberi persaingan sengit sepanjang Mic On! bersiaran menerusi Awesome TV.

Pada pentas akhir Mic On! musim pertama, Jiwa yang mendendangkan dua buah lagu iaitu Potret nyanyian asal Akim & The Majistret dan Farhana (Jinbara) membawa pulang wang tunai berjumlah RM10,000, hadiah tajaan ALTEL berserta trofi.

Menurut Jiwa, 26, dia tidak menyangka namanya diumumkan sebagai juara pada malam tersebut kerana persaingan yang diberikan oleh rakan seperjuangan lain cukup sengit.

“Saya sangat bersyukur dan tidak pernah menyangka bergelar juara pada malam tersebut tambahan pula peserta lain sangat hebat.

“Biarpun sudah menyertai banyak program realiti seperti Mentor dan D’Academy Asia, tetapi Mic On! memberi satu pengalaman baharu kepada saya,” ujarnya.

MUSIM pertama program Mic On! melahirkan tiga bakat baharu di persada seni suara iaitu Jiwa Firdaus (tengah)selaku juara, Ainnur (kiri) sebagai naib juara dan Aaron di tempat ketiga.

Kongsi rezeki

Berkongsi perancangan tentang wang kemenangan yang diperolehinya, penyanyi lagu Qistina itu bercadang untuk berkongsi rezeki dengan anak-anak yatim.

“Saya berhasrat membelanjakan sedikti wang kemenangan dengan berkongsi rezeki bersama anak-anak yatim, mungkin belanja mereka makan.

“Tetapi apa yang pasti, saya memang akan menyimpan duit tersebut untuk masa depan ditambah pula dengan situasi semasa sekarang, saya memang tidak akan bazirkannya,” ujarnya.

Dalam pada itu, dia juga berharap agar kemenangan tersebut mengangkat lagi namanya sebagai penyanyi dalam industri hiburan tanah air.

“Selepas berakhirnya program ini, semangat saya untuk terus berkarya semakin membuak-buak. Insya-Allah saya akan terus hasilkan karya yang berkualiti selepas ini. Walaupun kurang dikenali, saya tidak akan berputus asa,” ujarnya lagi.

Berkongsi cabaran sepanjang bersaing dalam program berkenaan, Jiwa menyifatkan barisan juri yang terdiri daripada penyanyi Mas Idayu dan Datuk M. Nasir memberi tekanan kepadanya.

“Agak tertekan sepanjang bertanding tetapi tidak dinafikan bahawa ketika mengetahui saya dinilai oleh mereka membuatkan diri ini lebih bersemangat memberi persembahan terbaik setiap minggu hinggalah ke pentas final,” kata anak kelahiran Kuantan, Pahang itu.

Sementara itu, pemenang tempat kedua Mic On! dimiliki oleh Siti Wan Ainnur, 23, yang mendendangkan lagu milik Siti Sarah iaitu Jangan Kau Mimpi dan Cindai (Datuk Seri Siti Nurhaliza).

Ainnur turut membawa pulang wang tunai berjumlah RM5,000, trofi dan hadiah tajaan ALTEL.

Sementara, Harun Abdul atau Aaron pula berpuas hati di tempat ketiga dan membawa pulang wang tunai bernilai RM2,500, trofi dan hadiah tajaan ALTEL.

Finalis lain yang turut bertanding di pentas akhir ialah Erman Braka, Qmir dan Azmi Khan.

Mic On! yang dihoskan oleh Nana Mahazan merupakan program realiti televisyen pertama terbitan Awesome TV yang mencungkil bakat anak muda tempatan bagi mewarnai industri seni tempatan.

Kelainan yang ditonjolkan dalam program tersebut ialah kesemua peserta diuruskan oleh pelawak-pelawak terkenal tanah air iaitu Ropie, Fad Bocey dan Shuk Sahar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI