AWAL bulan ini, peminat dikejutkan dengan pendedahan mengaitkan seorang artis idola yang pernah menulis lirik berbaur rasis ketika di bangku sekolah menengah.
Pendedahan tersebut kemudian mengaitkan nama artis yang terlibat ialah anggota kumpulan Stray Kids iaitu Han.
Sejurus perkara tersebut heboh diperkatakan dalam internet, Han menerusi Instagramnya tampil menulis surat permohonan maaf.
“Lirik berkenaan ditulis sekitar 2013 ketika saya berusia 13 tahun. Tanpa sebarang alasan, saya mengakui perkara berkenaan adalah salah saya sepenuhnya. Saya minta maaf.
“Ketika itu, saya cuma mahu menikmati zaman remaja dengan menyanyikan lagu rap. Saya mohon maaf kerana telah melukai ramai orang dengan penulisan lirik tidak elok sebegitu,” katanya.
Ujar Han, kontroversi tersebut benar-benar membuatkan dia berasa kesal dan malu walhal tujuan utamanya menjadi penyanyi adalah untuk berhubungan dengan ramai orang menerusi muzik.
“Saya malu kerana pernah menulis lirik sebegitu pada masa lalu. Saya tidak boleh menggunakan alasan masih muda untuk lari daripada perkara ini, jadi saya bermuhasabah diri,” ujarnya.