fbpx

Eric Tan sekutu Jho Low dituntut LHDN bayar RM67.9 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia memfailkan tuntutan sebanyak RM67.9 juta terhadap seorang individu Eric Tan Kim Loong yang merupakan sekutu Low Taek Jho atau Jho Low, atas dakwaan gagal membayar cukai pendapatan selama empat tahun.

Kerajaan Malaysia selaku plaintif memfailkan saman itu terhadap Kim Loong atau lebih dikenali sebagai Eric Tan, 43, yang merupakan defendan melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada 15 Januari lalu di Mahkamah Tinggi di sini.

Tarikh 16 Mac ini ditetapkan pengurusan kes seterusnya.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa defendan tidak membayar cukai pendapatan sebanyak RM67,996,891.87 bagi tahun 2010, 2011, 2012 dan 2013.

Menurut plaintif notis-notis taksiran tersebut telah dihantar secara pos berdaftar kepada defendan pada 24 November 2020 ke alamat terakhirnya di Kepong, Kuala Lumpur.

“Notis-notis taksiran tersebut tidak pernah dikembalikan kepada plaintif tanpa serah.

Sehingga kini, defendan masih gagal membayar kepada plaintif amaun cukai pendapatan defendan yang masih terhutang dan genap masanya dan kena dibayar bagi tahun taksiran 2010, 2011, 2012 dan 2013, termasuk kenaikan yang dikenakan yang kesemuanya berjumlah RM67,996,891.87,” kata plaintif.

Menurut pernyataan tuntutan itu lagi, plaintif berhak untuk mendapatkan kembali jumlah cukai pendapatan yang masih terhutang tersebut serta kenaikan-kenaikan yang dikenakan ke atas defendan sebagai suatu cukai yang genap masanya dan perlu dibayar.

Justeru, plaintif menuntut jumlah tersebut selain faedah lima peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga tarikh realisasi dan apa-apa relif yang disifatkan sesuai oleh mahkamah.

Sebelum ini media melaporkan Eric Tan adalah sekutu rapat Jho Low dan turut terbabit dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).- K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI