PARIT BUNTAR – Tindakan enam sekawan berkumpul di taman permainan Perumahan Toh Jabit di sini mengundang padah apabila kesemua mereka dikompaun pihak polis semalam.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, dalam kejadian sekitar pukul 11.30 malam itu, pihaknya yang membuat pemeriksaan rutin, terserempak dengan sekumpulan lelaki yang sedang berkumpul di kawasan taman permainan disitu.
Menurutnya pihaknya segera membuat pemeriksaan dan mendapati kesemua mereka didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Terdahulu, pada petang sebelum kejadian, anggota bertugas mendapati sekumpulan lelaki sedang bermain bola sepak di taman permainan sama namun kesemua mereka telah dipanggil dan diberikan nasihat.
“Namun rondaan pada sebelah malam pula, anggota bertugas mendapati sekumpulan lelaki berusia antara 18 hingga 26 tahun sedang berkumpul di taman permainan itu dan telah melanggar SOP yang ditetapkan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah Mazuki, enam notis kompaun telah dikeluarkan pihak polis kepada kumpulan terbabit di bawah Peraturan 12 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.
Menurutnya lagi, pihaknya sentiasa mengingatkan orang awam agar terus mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan. -K!ONLINE