Oleh ISWAN SHAFIQ ISA
SEBERANG PERAI – Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun terpaksa menahan kesakitan selama lebih 20 minit selepas kaki kanannya tersepit pada jeriji longkang petang tadi.
Kejadian itu berlaku di kawasan Pangsapuri Sri Bagan, Kampung Bagan Dalam, Butterworth, di sini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 5.21 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
“Kerja-kerja menyelamat mangsa kemudian dilakukan dengan menggunakan alat pemotong atau ‘rescue cutter’.
“Operasi akhirnya tamat kira-kira pukul 5.40 petang selepas kaki mangsa berjaya dikeluarkan,” katanya.
Tambahnya, mangsa bagaimanapun hanya mengalami kecederaan ringan akibat daripada kejadian tersebut. – K! ONLINE