fbpx

Barangan online rosak atau hilang,  lapor TTPM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ROSOL (dua dari kanan) berbual dengan salah seorang pelanggan Prihatin Mart di Kampung Pela, Ajil, Hulu Terengganu hari ini.

HULU TERENGGANU – Penguna yang kerugian akibat barangan dihantar menerusi perkhidmatan kurier hilang atau rosak disaran membuat aduan ke Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) bagi menuntut ganti rugi.

Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid berkata, aduan ke TTPM merupakan pendekatan yang perlu diambil sekiranya syarikat perkhidmatan kurier atau penjual terlibat enggan bertanggungjawab.

“Pengguna berhak menerima ganti rugi daripada pihak yang bertanggungjawab merosakkan atau menghilangkan barangan dibeli mereka sama ada penjual mahu pun syarikat penghantaran.

“Sekiranya aduan (kepada penjual atau syarikat perkhidmatan kurier) tidak dapat menyelesaikan masalah, pengguna boleh menuntut hak mereka di TTPM,” katanya ketika pemantauan perjalanan Prihatin Mart iaitu kedai runcit bergerak harga murah di Kampung Pela, Ajil di sini hari ini.

Rosol mengulas rungutan ramai pengguna di media sosial sejak akhir-akhir ini berhubung barangan dibeli mereka rosak atau hilang didakwa dilakukan pekerja syarikat penghantaran kurier.

Kosmo! hari ini melaporkan sebuah video berdurasi 15 saat menunjukkan tindakan sekumpulan pekerja sebuah syarikat perkhidmatan kurier mogok dan melemparkan barangan milik pelanggan tular di media sosial.

Dalam perkembangan sama, Rosol menasihatkan pengguna dan penjual agar tidak menggunakan perkhidmatan kurier biasa untuk menghantar barangan berharga  seperti barangan kemas, wang tunai dan barangan mudah rosak, terbakar dan meletup. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI