NEWCASTLE – Pengurus Newcastle, Steve Bruce mengakui tugasnya sebagai pengurus pasukan itu menyebabkan beliau berdepan masalah kesihatan kerana terpaksa berdepan tekanan yang tinggi.
Mana tidaknya, skuad bimbingannya itu terpaksa beraksi dengan sembilan pemain berdepan Southampton selepas Jeff Hendrick di buang padang manakala pemain pertahanan Fabian Schar terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan ketika mereka sudah membuat tiga pertukaran.
Bagaimanapun, berbekalkan tenaga sembilan pemain, Newcastle masih berjaya mencatat kemenangan apabila menewaskan Southampton 3-2 pada aksi di St. James Park kelmarin.
“Rakan-rakan saya berpesan ketika saya menerima jawatan pengurus pasukan ini bahawa saya perlu bersedia dari aspek kesihatan juga kerana ia adalah tugas yang penuh tekanan.
“Separuh masa pertama sepatutnya keputusan menjadi 4-1 tetapi sebaik dua minit babak kedua bermula ia menjadi 3-2 sebelum kami bermain dengan 10 pemain bermula minit ke-50.
“Tempoh setengah jam terakhir itu sangat mendebarkan kerana kami kekurangan pemain tetapi situasi menjadi lebih teruk apabila kami kehilangan seorang lagi pemain 15 minit sebelum perlawanan berakhir kerana kecederaan dan ketika itu tiga pertukaran sudah dibuat.
“Ia adalah sangat gila. Saya teruja menyaksikan semangat dan kesungguhan para pemain yang terus kekal bersemangat untuk mempertahankan kelebihan tersebut dan kami akhirnya menamatkan perlawanan ini dengan kemenangan,” katanya. – AGENSI