PETALING JAYA – Kira-kira 2,000 nelayan seluruh negara menjadi mangsa kata-kata manis atau manipulasi peraih atau orang tengah di dalam urusan jual beli hasil tangkapan laut mereka sepanjang tahun lalu.
Pengurus Besar Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat), Azrin Shah Ismail berkata, golongan peraih ini mengambil kesempatan dengan membeli pada harga rendah daripada nelayan yang bertungkus lumus di laut.
“Peraih atau orang tengah ini turut memberi janji manis dan wang sagu hati kepada nelayan-nelayan. Sebagai contoh, mereka memberi minyak untuk turun ke laut, membaiki peralatan seperti jalan, beri sumbangan dari segi kewangan,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Namun, katanya, mereka membeli hasil tangkapan itu dengan harga murah sebelum dijual kepada pihak berikutnya dengan hasil keuntungan berlipat kali ganda.
Azrin berkata, keadaan itu juga membuatkan timbul isu kenaikan harga hasil laut terutamanya di sekitar Lembah Klang.
“Penjualan hasil laut tadi jatuh kepada pelbagai peringkat orang tengah. Kita boleh ambil contoh, orang tengah atau pemborong ikan di Johor ambil ikan melalui nelayan di sana.
“Kemudian pengantara bekalan makanan laut yang bekalkan penjual dan peruncit di sekitar ibu negara yang kemudian dijual di sekitar Lembah Klang.
“Itu lah yang dikatakan berperingkat, dengan kos penjagaan ikan lagi, jadi kenaikan harga ikan boleh meningkat apabila sampai di tangan penjual ikan di sekitar ibu kota,” jelasnya.
Azrin Shah berkata, kebanyakan peraih ini tiada lesen dan lambakan peraih juga menyebabkan kenaikan harga barangan hasil laut tersebut.
“Kebanyakan peraih atau orang tengah ini merupakan golongan peruncit dan pemborong tempatan, cuma mereka tidak mendaftar dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bagi memanipulasi harga yang mereka sendiri tetapkan.
“Apabila perkara ini terjadi maka, ramai peraih ini akan mula mengambil kesempatan ke atas nelayan-nelayan. Ada juga segelintir peraih ‘lintah darat’ dengan mengambil keuntungan lebih semasa ikan kurang di kawasan tertentu,” katanya.
Justeru itu, katanya, bagi membendung isu tersebut, LKIM perlu mencari jalan penyelesaian untuk mengenal pasti golongan orang tengah yang tidak berdaftar ini.
Dalam pada itu, Azrin turut memberitahu, ada juga nelayan yang hanya menjual kepada ‘orang’ mereka sahaja atau pilih bulu.
“Contohnya, ada juga nelayan dari negara jiran yang hanya menjual kepada rakan mereka yang membuka kedai runcit di negara kita, itu juga boleh dikategorikan sebagai peraih yang tidak berdaftar,” katanya.
Azrin mencadangkan supaya kerajaan membuka kompleks di setiap pantai bagi memusatkan penjualan hasil laut tersebut.
“Kesemua orang tengah ini perlu mendaftar sebelum boleh menjual kepada orang ramai, jadi kita boleh kesan jika ada kenaikan harga dan sebagainya,” jelasnya.