fbpx

[VIDEO] Salah faham punca kejadian lempar barang pelanggan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video tular memaparkan tindakan pekerja sebuah syarikat kurier melempar barangan pelanggan yang menerima kecaman daripada netizen.

PETALING JAYA – Kurang jelas dengan sistem pengagihan bonus dalam kalangan pegawai jabatan didakwa menjadi punca kejadian mogok serta tindakan melempar barangan milik pelanggan oleh kakitangan J&T Express yang tular sejak semalam.

J&T Express menerusi satu kenyataan berhubung kejadian itu berkata, pihak syarikat memohon maaf kepada semua yang terkesan dan sedia menerima pendapat serta cadangan orang ramai.

“Untuk menjamin kebajikan pekerja, kami mengambil kesempatan ini untuk menjelaskan kebenaran tentang apa yang terjadi kepada orang ramai.

“Kami komited membangunkan sistem pampasan dan faedah yang lengkap untuk meningkatkan faedah pekerja, jadi J&T telah memberikan pembayaran pekerja akhir tahun setelah pertimbangan komprehensif, bersesuaian dengan peraturan dan undang-undang bonus, serta Undang-Undang Perburuhan Malaysia,” katanya.

Tambah kenyataan itu, bonus penuh dibayar kepada pekerja yang telah bekerja selama satu tahun dan bonus dibayar mengikut tempoh masa pekerja yang bekerja kurang dari satu tahun.

“Oleh kerana kurang jelas sistem pengagihan bonus di kalangan pegawai jabatan, ia menyebabkan pengagihan bungkusan secara ganas yang berlaku pada 4 Februari lalu termasuk menghasut beberapa pekerja untuk membuat gangguan serta menyebarkan video ke media sosial.

“Kami ingin menjelaskan bahawa J&T tidak akan memotong atau berhutang gaji kepada pekerja, dan pihak kami akan bersedia menerima pengawasan dan pemeriksaan oleh masyarakat dan institusi berkenaan,” ujarnya.

Mengulas lanjut berhubung insiden tersebut, J&T Express sekali lagi meminta maaf atas kekurangan dalam pengurusan yang telah menyebabkan rasa tidak puas hati dan kerugian kepada pelanggan mereka.

“Kami akan memikul semua tanggungjawab yang harus kami pikul dengan segera untuk meningkatkan standard pengurusan dan perkhidmatan kami seperti menyediakan latihan lebih profesional untuk memberikan perkhidmatan ekspres yang boleh dipercayai dan cekap kepada pengguna Malaysia,” ujar kenyataan itu.

Difahamkan, Pengurusan J&T Perak telah menangani dan menjelaskan kejadian sebenar yang berlaku pada kakitangan terlibat dan pada 5 Februari lalu, para pekerja telah menjalankan tugas seperti biasa untuk menyusun serta memproses bungkusan pelanggan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI