PETALING JAYA – Polis memberi amaran kepada orang ramai agar menghentikan aktiviti mengayuh basikal secara berkumpulan di kawasan pusat bandaraya kerana ia jelas melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, pihaknya kesal apabila masih terdapat segelintir orang ramai yang dikesan mengayuh basikal secara berkumpulan di sekitar Dataran Merdeka, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Raja Laut, Jalan Ampang dan Jalan Merbok hari ini.
“Kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas sesiapa jua yang melanggar SOP yang ditetapkan oleh kerajaan dari semasa ke semasa.
“Ia bertepatan dengan SOP yang telah ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang mana aktiviti berbasikal hanya dibenarkan berseorangan dan kayuhan pula tidak melebihi 10 kilometer (km) dari tempat tinggal (kediaman),” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Justeru itu, jelasnya, kayuhan berkumpulan adalah tidak dibenarkan sama sekali walaupun keluar dari rumah seorang diri.- K! ONLINE