fbpx

Pasangan Orang Asli ditahan selepas 40 km jalan kaki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

KOTA BHARU – Pasangan suami isteri Orang Asli suku kaum Temiar yang melarikan diri dari Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai kelmarin selepas anak mereka yang berusia 25 hari disahkan positif Covid-19 ditahan semalam.

Kedua-dua pasangan itu ditahan ketika berada di sebuah pondok di sekitar Kampung Sungai Sam, Kuala Krai selepas mereka dipercayai berjalan kaki sejauh kira-kira 40 kilometer menyusuri laluan jalan raya ke kawasan tersebut.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, polis bergegas ke lokasi itu selepas  menerima maklumat melalui panggilan telefon daripada seorang individu dari Jabatan Kemajuan Orang Asli kira-kira pukul 5.30 petang semalam.

“Pasangan terbabit memberi kerjasama dengan pihak polis dan dibawa ke HSIP untuk menjalani ujian saringan Covid-19.

“Mereka akan dikuarantin selama 14 hari sementara menunggu keputusan ujian saringan itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Shafien, polis turut menjalankan siasatan terhadap pasangan terbabit kerana mereka telah melarikan diri.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit/ 270 Kanun Keseksaan.

Akhbar Kosmo! hari ini melaporkan, polis sedang menjejaki pasangan suami isteri Orang Asli yang dipercayai positif Covid-19 selepas mereka melarikan diri dari HSIP, Kuala Krai kelmarin.

Pasangan terbabit dari Kampung Polis Tohoi, Gua Musang disedari melarikan diri meninggalkan anak mereka yang dilahirkan 25 hari di hospital berkenaan selepas bayi itu disahkan positif Covid-19.

Kejadian disedari berlaku kira-kira pukul 9.30 malam selepas pihak hospital menyedari ibu bayi itu Elina Aling,33, tiada di wad. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI