fbpx

Meerqeen pertaruh bakat, buru julang trofi anugerah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MENGHULUR salam perkenalan menerusi program Hero Remaja 2020 membuatkan jejaka kacak bernama Meerqeen hampir tidak percayakan perubahan kitaran hidupnya.

Biarpun sekadar menduduki ketiga, trofi sebenar ‘kejuaraan’ juga seperti sedang memihak kepadanya.

Hanya beberapa bulan selepas lahir daripada program yang menjadi dambaan ramai jejaka Malaya tersebut, Meerqeen tiba-tiba diintai para karyawan untuk disunting menjadi bintang.

Seperti semua orang terduga dek pandemik, tahun 2020 sebenarnya meninggalkan catatan indah dan sejarah tersendiri buat Meerqeen selepas lakonannya menerusi drama perdana, Angkara Cinta mendapat sambutan hangat penonton sekali gus melonjakkan namanya.

AKUI jejaka tampan berketinggian 178 sentimeter itu, pembabitan awalnya dalam bidang seni tidak begitu disenangi keluarga, namun akhirnya dia diberikan sokongan dan restu untuk serius mengatur langkah sebagai pelakon.

Dia langsung tiada sekelumit pengalaman dalam dunia lakonan, namun bersandarkan impian dan bakat terpendam semuanya mendorong Meerqeen bekerja keras bergelar pelakon.

Impaknya, nama Meerqeen muncul menjadi hero baharu yang disebut-sebut bakal bersinar dan menjadi rebutan sepanjang 2021 yang baru menguatkan jendelanya.

“Alhamdulillah, syukur kepada Allah. Jujur saya katakan langsung tidak pernah terfikir akan sampai ke tahap ini.

“Saya anggap dan terima semua ini sebagai rezeki. Insya-Allah saya akan lakukan yang lebih baik selepas ini,” katanya tatkala membuka bicara bersama Pose baru-baru ini.

Cabar diri

Meneruskan perbualan, pemilik nama sebenar Muhammad Syameer Shauqeen Shaiful Izam itu juga tidak pernah menyangka bakal dipilih dan diberi kepercayaan bagi membawakan watak hero dalam sebuah naskhah besar.

Jejaka berusia 20 tahun itu awalnya tidak berani menyahut tawaran tersebut tetapi demi mengejar karier dalam dunia seni, dia bersedia berdepan cabaran.

BIARPUN masih muda dan hijau dalam dunia seni, Meerqeen menanam impian besar untuk bergelar bintang dan seniman satu hari nanti.

“Drama sulung sudah dipertanggungjawabkan untuk membawa watak hero. Lebih mencabar, drama ini mempunyai 90 episod secara keseluruhannya.

Angkara Cinta naskhah yang panjang dan memerlukan masa serta komitmen penuh pelakon,” ujarnya meluahkan rasa teruja dapat bergandingan bersama bintang hebat lain seperti Hun Haqeem dan Wanna Ali.

Dek kekangan masa dan komitmen, dia terpaksa menolak beberapa tawaran lain melibatkan program pengacaraan, telefilem dan drama bersiri.

Merupakan seorang pencinta haiwan dan pernah memasang
cita-cita untuk menjadi seorang zoologi.

“Bukan bermaksud untuk menolak rezeki, tetapi saya memang tidak dapat berikan komitmen untuk tawaran lain yang datang.

Angkara Cinta sahaja ada 90 episod dan ada beberapa episod lagi untuk dihabiskan penggambaran. Semuanya tertangguh rentetan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Jadi saya tiada pilihan dan terpaksa menolak dulu tawaran lain yang datang. Bukan tidak mahu atau sombong, tetapi disebabkan jadual yang terlalu padat dan situasi semasa,” tuturnya.

Idam anugerah

Bohong jika seseorang itu tidak mengimpikan sebarang anugerah mahupun pengiktirafan dalam apa jua bidang yang diceburi.

Sebagai pendatang baharu dan anak seni yang terjerumus dalam dunia penuh glamor dan kontroversi ini, perkara sama turut diakui Meerqeen.

NAMA Meerqeen mula disebut-sebut selepas cemerlang menjayakan watak hero menerusi naskhah fenomena, Angkara Cinta arahan Hadith Omar.

“Tanyakan mana-mana artis mahupun selebriti yang terjun dalam bidang seni, pasti mereka mengimpikan untuk menggenggam sebuah trofi hasil usaha dan kerja keras yang dilakukan.

“Begitu juga saya. Walaupun masih mentah dan hijau dalam bidang ini, saya ada sasaran tersendiri.

“Sasaran yang akan disulami dengan hasil kerja terbaik di samping belajar memperbaiki kelemahan dalam diri.

“Saya memang idamkan anugerah dalam bidang ini. Tidak kisah bagi kategori pelakon terbaik mahupun popular, saya inginkannya. Mana tahu tahun ini rezeki menyebelahi saya,” ungkapnya berselang ketawa kecil.

Tinggal lagi, dia harus banyak belajar dan terus menimba ilmu tanpa kenal erti putus asa untuk bersinar menjadi permata.

Single pop balada

Bercakap tentang perancangan, pemegang Diploma Insurans daripada Kolej Vokasional Gombak, Selangor itu mengakui mahu mencuba bidang seni suara.

Selain mahu terus berjuang dan mencipta nama sebagai pelakon, dia mahu mencuba melebarkan sayap bakatnya ke cabang seni lain seperti nyanyian.

SELAIN fokus terhadap karier lakonan, Meerqeen turut merancang mempunyai sebuah perniagaan sendiri pada masa hadapan.

“Tidak salah kalau seseorang pelakon ingin mencabar diri dan mempertaruhkan bakat ke bidang seni lain seperti nyanyian.

“Saya memang minat menyanyi sejak keci. Jika tiada aral melintang, dalam tahun ini juga saya bakal hadir dengan sebuah single sulung bergenre pop balada,” ujarnya yang sedang muncul dalam drama bersiri Marry Me Senorita menerusi Astro Ria.

Sudah namanya pelakon, drama sahaja tidak cukup. Lebih besar lagi, Meerqeen mengidamkan layar perak sebagai destinasi lakonannya.

“Saya perlu belajar dan bekerja keras. Sangat banyak watak yang saya impikan untuk cabar diri dan betul-betul menjadi pelakon berkualiti.

“Watak antagonis dan psiko, itu antara yang saya tunggu-tunggu. Apa sahaja watak yang membabitkan kejahatan dan aksi memang saya idamkan,” katanya yang menginspirasikan kerja seni Beto Kusyairy, Brond Palarae, Nabila Huda dan Tiz Zaqyah dalam lakonan.

Menutup perbualan, Meerqeen mengakui hatinya masih kosong dan enggan menyesakkan kepala tentang soal cinta. Kini, seluruh jiwa dan perasaan hanya mahu ditumpahkan ke lembah seni.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI