fbpx

Keluarga resah, remaja hilang tanpa khabar sebulan lalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nur Ain Fatihah Muhammad Asmawi hilang sejak sebulan lalu ketika pergi ke rumah rakannya untuk belajar di Lata Rek, Kuala Krai.

KUALA KRAI – Keluarga kepada seorang remaja perempuan dari Kampung Jelekis, Lata Rek di sini hanya mampu berserah kepada takdir apabila pelajar sekolah agama itu dilaporkan hilang lebih sebulan lalu.

Nur Ain Fatihah Muhammad Asmawi, 16, pelajar di Sekolah Agama Rahmaniah di sini yang hilang pada 5 Januari masih belum ditemui selepas dipercayai keluar untuk belajar di rumah rakannya di Kampung Lata Rek.

Bapa saudaranya, Shahril Ismail, 24, berkata, dia menghantar anak saudaranya di tepi simpang jalan masuk rumah rakan Nur Ain Fatihah yang terletak kira-kira tiga kilometer dari rumah mereka dengan menaiki motosikal kira-kira pukul 2.30 petang.

“Saya tidak menghantar Nur Ain Fatihah terus ke rumah kawannya kerana perlu menaiki bukit dan hujan renyai-renyai ketika kali terakhir bertemu dengannya.

“Dia meminta untuk turun di bawah bukit sahaja dan dia akan berjalan ke rumah rakannya yang sudah kelihatan tidak jauh dari situ. Nur Ain Fatihah meminta saya datang semula selepas dua jam,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Menurut Shahril, bagaimanapun, ketika mahu menjemput anak saudaranya pada pukul 5.30 petang, rakan kepada Nur Ain Fatihah memaklumkan bahawa dia tidak datang ke rumah pada hari itu.

Katanya, selepas beberapa jam tanpa khabar berita, dia terus memaklumkan abangnya, iaitu bapa Nur Ain Fatihah yang ketika itu berada di Kuala Lumpur.

“Kami telah membuat laporan mengenai kehilangan Nur Ain Fatihah di Balai Polis Lata Rek di sini keesokan harinya selepas buntu mencarinya,” katanya.

Sementara itu, bapa Nur Ain Fatihah, Muhammad Asmawi Ismail, 42, berkata, dia terkejut menerima berita kehilangan anaknya dan terus pulang ke kampung untuk mencari anak keduanya itu bersama ahli keluarga.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau menemui Nur Ain Fatihah boleh menghubungi bapanya, Muhammad Asmawi di talian 013-969 3882. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI