fbpx

Wanita dikompaun tidak pakai pelitup muka selepas tunggang basikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

TUMPAT – Seorang wanita dikompaun selepas dipercayai berhenti di sebuah premis tanpa memakai pelitup muka selepas dia menunggang basikal di Wakaf Bharu di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab. Rashid Mat Daud menegaskan, kompaun tersebut dikeluarkan selepas wanita itu tidak memakai pelitup muka ketika berada di tempat awam.

“Polis telah melakukan pemerhatian terhadap wanita itu yang beriadah dengan menunggang basikal sebelum kompaun dikeluarkan. Apabila sampai di tempat awam iaitu sebuah kedai, dia ditahan dan mengaku telah melakukan kesalahan kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP).

“Apa yang ditularkan di media sosial dengan mengatakan dia dikompaun ketika menunggang basikal tidak benar. Ini kerana wanita itu sememangnya melakukan kesalahan tidak memakai pelitup muka di tempat awam,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Terdahulu, tular sekeping gambar yang menunjukkan seorang wanita telah dikompaun selepas dipercayai hanya menunggang basikal di kawasan itu.

Wanita berkenaan telah dikompaun semasa operasi bersepadu yang telah dilancarkan di seluruh Kelantan dengan melibatkan pihak polis, Kementerian Kesihatan (KKM) Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan Sukarelawan Rakyat (Rela).

Operasi itu bertujuan memastikan orang ramai mematuhi SOP PKP terutamanya dari segi pemakaian mask atau pelitup muka.

Mengulas lanjut, Ab. Rashid memberitahu, beliau kesal dengan tindakan orang ramai yang menularkan berita tanpa memberi fakta sahih.

Katanya, perbuatan itu telah memberikan tanggapan negatif kepada pihak polis yang sedang menjalankan operasi pematuhan SOP ketika ini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI