LABIS – Sekumpulan anjing liar yang terjatuh dan terperangkap berjaya diselamatkan sepasukan anggota bomba dalam kejadian di Tapak Pelupusan Sampah Maokil 1, Labis, Segamat di sini, hari ini.
Menurut Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Labis, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Farizan Mokhtar, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 11 pagi.
Setibanya di lokasi, didapati terdapat sekumpulan enam ekor anjing telah terperangkap di dalam sebuah kolam tadahan air.
“Pasukan Keluar Operasi (PKO) mendapati sekumpulan anjing tersebut berada di dalam kolam tadahan air yang kosong.
“Kolam tadahan air itu adalah milik Syarikat SWM dan ini bukanlah kejadian pertama anjing liar terperangkap di dalam kolam tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Difahamkan, anjing tersebut telah seminggu terperangkap di dalam kolam tadahan air dan pelbagai usaha untuk mengeluarkannya telah dilakukan termasuk meletakkan papan di tebing kolam untuk memudahkan anjing itu mendaki naik.
Mohd. Farizan berkata, operasi menyelamat enam ekor anjing itu dilakukan dengan menggunakan tali dan palet kayu.
Kesemua enam ekor anjing itu dilepaskan di kawasan selamat namun keadaan anjing tersebut dalam keadaan lemah.- K! ONLINE