fbpx

Biras jadi batu api burukkan hubungan dengan mertua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
INA berasakan hidupnya seperti orang gaji apabila perlu membersih dan mengemas rumah yang disepahkan oleh anak abang iparnya.–GAMBAR HIASAN

SEMUANYA bermula ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun lalu apabila suami Ina (bukan nama sebenar) hilang pekerjaan yang berpunca daripada pandemik Covid-19 sehingga syarikat terpaksa memberhentikan sebahagian pekerja.

Perkhabaran duka itu sangat meremukkan hati Ina apabila memikirkan nasib mereka sekeluarga apatah lagi anak masih kecil dan memerlukan kos sara hidup yang tinggi.

Ina yang tidak bekerja sekadar membantu suami dengan menjual online secara kecil-kecilan pada masa lapang.

Akui ibu yang berusia 28 tahun itu, dia dan suami terpaksa berjimat serta mengurangkan perbelanjaan bagi memastikan duit simpanan cukup sementara mendapatkan pekerjaan baharu.

“Dalam dunia yang huru-hara dengan Covid-19 adalah mustahil untuk mendapatkan pekerjaan dengan cepat apatah lagi banyak syarikat mengurangkan pekerja dan menutup operasi.

“Saban hari, duit simpanan makin berkurangan dan harapan makin pudar untuk mendapatkan pekerjaan baharu sehingga suami terpaksa membuat keputusan berpindah ke rumah ibunya kerana tidak mampu membayar sewa rumah,” cerita Ina memulakan bicara.

Wanita tersebut yang baru dua tahun mendirikan rumah tangga bersama suami tidak menyangka bakal berdepan episod yang memeritkan ketika berpindah ke rumah ibu mertua.

Ujar Ina, rumah ibu mertuanya agak besar dan selesa tetapi abang iparnya serta keluarganya turut tinggal di situ.

Pada mulanya wanita yang berasal dari Selangor itu menyangkakan hidup bersama keluarga besar akan lebih meriah tetapi sebaliknya yang terjadi.

“Sepanjang perkahwinan, ibu mertua melayan saya dengan baik dan sangat menyayangi anak kami yang berusia setahun.

 

SUAMI Ina terpaksa mengajaknya tinggal bersama keluarga mertua apabila tidak mampu lagi membayar sewa rumah ekoran kehilangan kerja.–gambar hiasan

 

“Namun, sejak beberapa bulan tinggal di rumahnya seakan ada sesuatu yang tidak kena kerana dia enggan bercakap apatah lagi memandang wajah saya,” tutur anak kedua daripada tiga beradik itu.

Tambah Ina, dia tidak ingin memikirkan sesuatu yang negatif lantas membuang jauh prasangka buruk terhadap ibu mertuanya itu.

Sepanjang tinggal di situ, Ina dilayan seperti orang gaji dan melakukan semua kerja rumah termasuk memasak, mengemas serta mencuci.

“Memang penat sangat kerana saya juga perlu mengemas barangan yang disepahkan oleh anak-anak abang ipar seramai empat orang itu.

“Tambahan pula saya tidak sanggup melihat tempat itu terus bersepah dengan lantai yang dikotori dengan sisa makanan oleh anak-anak mereka tanpa dibersihkan sesiapa,” katanya sambil mengeluh panjang.

Tutur Ina lagi, suami tahu dirinya penat dan meminta bersabar kerana mereka tidak mempunyai cukup wang untuk mencari rumah sewa apatah lagi belum mempunyai pekerjaan.

Pada suatu hari, perbuatan jahat birasnya atau isteri kepada abang iparnya terbongkar apabila Ina mendengar perbualan wanita tersebut yang menghasut kata-kata jahat mengenai dirinya kepada ibu mertua.

Sekarang barulah Ina tahu kenapa ibu mertua berubah secara tiba-tiba sejak dia berpindah ke situ hampir setahun.

“Memang tidak disangka, biras sebenarnya berlakon baik tetapi menusuk duri di belakang saya.

“Dia sebenarnya dengki dan risau sekiranya saya menjadi menantu kesayangan mak lebih-lebih lagi tinggal dalam satu rumah,” ulasnya lagi.

Ina sedar, jalan yang terbaik ialah berpindah dari situ tetapi faktor kewangan menyebabkan dia dan suami tidak mempunyai pilihan.
Syukur baru-baru ini suaminya mendapat pekerjaan yang baharu dan mereka pindah ke rumah sewa.

“Saya bersyukur, akhirnya doa dimakbulkan dan dapat tinggal di rumah sendiri dengan tenang. Pengalaman pahit itu banyak mengajar saya erti kehidupan sebenar dan lebih berhati-hati dengan mereka yang berpura-pura baik,” tuturnya yang kini berbadan dua.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI