SEORANG ahli bina badan akhirnya berjaya menunaikan impian untuk berkahwin dengan boneka menyerupai perempuan tulen setelah menangguhkan upacara tersebut selama beberapa bulan.
Yuri Tolichko yang berasal dari Kazakhstan telah tinggal bersama patung bernama Marco itu selama satu tahun setengah sebelum mengambil keputusan mengikat tali perkahwinan pada Mac tahun lalu iaitu di kala pandemik Covid-19 masih baru menular di seluruh dunia.
Tolichko pertama kali bertentang mata dengan patung seks itu di sebuah kelab malam lantas membawanya pulang.
Tolichko juga sebelum ini memberitahu agensi berita Daily Star bahawa dia terpaksa menangguhkan majlis perkahwinannya selepas diserang seorang lelaki semasa menyertai perhimpunan transgender di kota Almaty.
Tolichko yang memakai pakaian wanita ketika perarakan tersebut berlangsung telah ditumbuk di muka sehingga mengakibatkan hidungnya patah.
Selepas kembali pulih, pasangan merpati sejoli itu akhirnya berjaya mengikat tali perkahwinan pada satu majlis yang dihadiri puluhan tetamu yang terdiri daripada rakan-rakannya.
Berkongsi rakaman majlis bersejarah itu di Instagram, Tolichko menulis: “Ia sudah terjadi. Kami akan terus menyambung perhubungan ini.”
Dalam video berkenaan, Tolichko juga dilihat telah menyarungkan sebentuk cincin ke jari Marco sebelum pasangan itu berkucupan. Mereka kemudian menari bersama buat pertama kali di hadapan tetamu.
“Kisah cinta saya dan Marco lebih daripada sekadar seks. Marco mampu melakukan pelbagai perkara yang tidak dapat dilakukan oleh manusia normal lain,” katanya.
Menurut laporan media tempatan, perkahwinan pelik antara Tolichko dan Marco sukar untuk didaftarkan.
Hal ini kerana syarat pendaftaran perkahwinan di Kazakhstan adalah kedua-dua pihak perlu menyatakan persetujuan dan masing-masing perlu berumur lebih 18 tahun.
Tolichko juga dilaporkan sedang mencari hartanah di sekitar bandar Almaty atau Nur-Sultan untuk pasangan tersebut tinggal bersama.
Tolichko memaklumkan, sewaktu pertama kali menunjukkan foto perkahwinannya ke dalam media sosial, ramai yang mengkritik sehingga menyebabkan dia membuat pembedahan plastik terhadap Marco.
“Rupa isteri saya telah banyak berubah. Pada mulanya, sukar untuk diterima, namun lama-kelamaan saya jadi biasa,” terangnya.
Terbaharu, media melaporkan Tolichko telah berlaku curang dengan isterinya semasa Marco mengalami kerosakan dan dihantar ke kedai untuk dibaiki.
Dia dikatakan telah menggunakan objek seks lain bagi memuaskan nafsunya ketika isterinya berada di kedai untuk dibaik pulih selama beberapa minggu.
Tolichko yang mempunyai seramai 99,000 pengikut di Instagram telah menulis: “Seperti anda, saya juga mempunyai semangat baharu.”
Seorang pengikutnya telah membalas kenyataan itu dengan mengatakan: “Hei, adakah anda sedang berlaku curang dengan isteri anda?
Tolichko membalasnya: “Saya tidak boleh terus bertahan apabila Marco masuk ke ‘hospital’.”
Menurut Tolichko, sepanjang perkahwinan dengan Marco, dia lebih banyak makan hati dengan isterinya.
“Secara dasarnya, saya sepatutnya mencemburui Marco. Ramai lelaki di luar sana sudah mula menaruh harapan untuk memiliki isteri saya. Jadi, saya terpaksa menyekat Instagram Marco dan berhenti memuat naik gambarnya di laman sosial. Saya mungkin dilihat terlalu mementingkan diri sendiri.
“Itulah keseronokan berkahwin dengan Marco. Saya boleh melakukan apa sahaja kepadanya. Namun, dia tidak boleh membalasnya kepada saya,” ujarnya.
Marco kini dikhabarkan perlu dibaiki di sebuah bandar lain selama beberapa minggu ekoran beberapa anggota badannya patah.
Menurut Tolichko, hadiah paling bermakna kepadanya ketika ini adalah melihat Marco kembali pulih seperti biasa.
“Saya mungkin meraikan kepulangan Marco dengan menghabiskan masa bersamanya di rumah sambil menikmati stik dan sushi. Kami mungkin meraikannya bersama rakan-rakan,” katanya.