NEW DELHI – Tiga orang disahkan meninggal dunia dan sekurang-kurangnya 150 mangsa hilang di utara India hari ini selepas sebuah glasier pecah dan menyebabkan air sungai melimpah seterusnya menghanyutkan jambatan serta jalan raya, kata polis.
Limpahan air melalui lembah Sungai Dhauliganga itu memusnahkan apa sahaja yang ada di laluannya.
Tiga mayat telah dijumpai dan pencarian diteruskan untuk mencari lebih ramai mangsa, kata polis. Usaha membersihkan kampung-kampung yang terjejas turut dilakukan. Tragedi itu berlaku di negeri Uttarakhand.
“Kami telah menemui sekurang-kurangnya tiga mayat di dasar sungai.
“Kemas kini terakhir kami menunjukkan jumlah mangsa hilang adalah 150 orang manakala 16 atau 17 orang terperangkap di dalam sebuah terowong,” kata seorang jurucakap polis kepada agensi berita AFP.
Sebilangan besar mangsa yang hilang berada di loji janakuasa Tapovan di sebelah empangan yang dilanda limpahan air besar.
Pekerja kecemasan bertungkus lumus untuk sampai kepada kira-kira 17 orang yang terperangkap di dalam terowong di kompleks tersebut yang dipenuhi serpihan.
Sejumlah video yang dirakam menggunakan telefon bimbit dan dikongsi di media sosial menunjukkan limpahan air melalui lembah sempit di bawah loji janakuasa itu, menyebabkan jalan dan jambatan musnah.
Sebilangan besar penduduk kampung yang dipindahkan berada di lereng bukit menghadap sungai tersebut yang merupakan anak Sungai Gangga.
“Pentadbiran daerah, jabatan polis dan pengurusan bencana telah diarahkan untuk menangani bencana ini,” kata Ketua Menteri Uttarakhand, Trivendra Singh Rawat di Twitter. – AFP