PARIT BUNTAR – Seorang lelaki warga emas maut selepas motosikal ditunggangnya dilanggar kenderaan jenis sama di Kilometer 1, Jalan Sungai Kota, Titi Serong di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 6.45 petang itu, mangsa, Mohd. Yusof Abd. Rahim, 65, dari Tebok Haji Musa, Titi Serong itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan dari Titi Serong ke Tanjung Piandang.
“Setibanya di tempat kejadian, mangsa membelok ke kanan untuk memasuki simpang dan pada masa sama sebuah motosikal ditunggang seorang lelaki berusia 23 tahun sedang memotong sebuah kereta yang berada di belakang mangsa.
“Disebabkan jarak yang dekat, lelaki itu tidak sempat mengelak lalu merempuh sebelah kanan motosikal mangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah Mazuki, akibat rempuhan itu, kedua-dua motosikal tersebut terbabas dan menyebabkan mangsa yang parah meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Penunggang lelaki yang merempuh mangsa pula cedera di tangan dan kaki kiri.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Parit Buntar,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE