KOTA BHARU – Penghantar makanan di sekitar daerah ini merupakan antara golongan yang dikesan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula bulan lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, penghantar makanan kebanyakannya tidak mengamalkan penjarakan fizikal ketika mereka sedang menunggu pesanan pelanggan di restoran.
“Polis telah mengeluarkan sebanyak tujuh kompaun kepada penghantar makanan kerana tiada penjarakan fizikal antara mereka.
“Tiada lagi nasihat kali ini kepada individu yang tidak mematuhi SOP. Kita akan terus mengeluarkan kompaun,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan Pemantauan Pematuhan SOP di Pasar Siti Khadijah di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud.
Menurut Shafien, polis Kelantan telah menjalankan pemantauan SOP di 46 buah pasar di seluruh negeri hari ini.
Ujarnya, hasil pemantauan di Pasar Siti Khadijah, polis telah mengeluarkan sebanyak 10 kompaun terhadap individu dan premis kerana tidak mematuhi SOP ketika berada di dalam pasar berkenaan. – K! ONLINE