SETAKAT hujung tahun lalu, lebih 30,000 unit Proton X50 dikhabarkan sudah ditempah pelanggan. Jelas Proton, sebanyak 4,809 unit sudah dihantar kepada mereka yang membuat tempahan semenjak ia dilancarkan pada 27 Oktober tahun lalu.
Baru-baru ini Proton telah memberi peluang kepada Garaj untuk memandu uji model terbaharu X50 selama empat hari.
Dari segi pengalaman, ini merupakan kali kedua penulis memandu uji model ini (kali pertama pandu uji prestasi di Sepang). Peluang untuk kali kedua ini penulis ingin sentuh bab kosmetik dan rekaannya.
Model dipandu uji ialah varian Flagship, varian tertinggi dalam kalangan X50 dan berwarna merah itu berjaya menarik perhatian pemandu lain dan orang ramai kerana mereka akan menoleh ke arah SUV ini.
Pada bahagian luaran, selain rekaan yang menarik dan mengikut peredaran zaman, ciri-ciri moden seperti lampu utama projektor LED, lampu siang LED (DRL), lampu utama automatik, lampu kabus LED (automatik menyala ketika membelok), sensor pengelap cermin hadapan dan rel bumbung.
Ciri-ciri yang penulis maklumkan di atas boleh dikatakan kebiasaannya hadir dengan jenama premium. Di sini penulis cuba beritahu betapa bertuahnya pemilik-pemilik Proton pada masa sekarang.
Proton tidak kedekut untuk memberikan kepuasan kepada pelanggan-pelanggan dengan semua ciri diberikan. Jika kita teliti dan amati sambil pusing keliling SUV ini, setiap sudut dan lekuk termasuk aksesori semuanya nampak mahal.
Proton letak tanda harga bawah RM110,000 tetapi beri rim 18 inci dengan cermin suria panoramik ditambah dengan quad ekzos. Ini bukan tipu-tipu punya. Penampilan yang diberikan cukup sempurna, malah jika bandingkan dengan Geely Binyue, penulis tetap pilih X50.
Proton pada masa sekarang bukan sekadar mahu jual kenderaan untuk pembeli patriotik tetapi mereka sekarang berniaga dan membeli kepercayaan pengguna dari segi kualiti dan kepuasan.
Cuma, kalau boleh selepas ini Proton letak sensor radar berbentuk kotak itu di dalam logo seperti jenama lain supaya lebih nampak kemas rasanya.
Jom tengok ruang enjin Proton X50 yang sedap mata memandang. Redup sahaja rasanya sebab semuanya tertutup kemas.
Sekadar makluman, jarak antara roda SUV ini ialah 2,600 milimeter (mm), panjang 4,330mm, lebar 1,800mm dan tingginya 1,609mm. Sementara itu, berat Proton X50 varian Flagship ialah 1,370 kilogram (kg) paling berat dalam kalangan model itu. Mungkin sebab padat dengan aksesori.
Masuk ke ruang kabin, penulis boleh kata setaraf dengan jenama premium dengan harga RM200,000. Penggunaan tona warna yang sesuai berjaya menyerlahkan rekaan dan susun atur bahagian dalaman Proton X50.
Duduk sahaja di kerusi pemandu, rasa seperti memandu kereta sport sebab tempat duduk X50 separa bucket. Dari segi luas, Proton X70 lebih luas, namun kehadiran cermin suria panoramik ibarat memberikan ruang tambahan.
Pun begitu, jualan kenderaan Proton menurun pada bulan Januari akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali kedua. Jumlah jualan bulan Januari iaitu sebanyak 5,964 unit yang diumumkan Proton adalah bersamaan penurunan 29.9 peratus berbanding bulan sama tahun lalu.
Kesan pandemik jelas dilihat pada pelbagai industri termasuk automotif dengan dianggarkan jualan jenama-jenama kenderaan berada sedikit di atas paras 32,000 unit pada Januari lalu, sepadan penurunan jumlah yang besar bagi kebanyakan pemain utama.
Dengan penjualan 5,964 unit itu, Proton berjaya mengakhiri bulan Januari lalu di tangga kedua. Ia bagaimanapun bersamaan pengurangan sebanyak 29.9 peratus berbanding Januari 2020, manakala pegangan pasaran pula dianggarkan pada tahap 18.5 peratus, penurunan sebanyak 1 peratus.
Bagaimanapun, kadar jualan itu hanya mencerminkan ketidakbolehan pengeluaran kenderaan untuk memenuhi permintaan, bukannya pengurangan tempahan.
Proton X50 pula kekal di tangga teratas SUV segmen B (lima tempat duduk) walaupun jumlah yang didaftar berkurangan kepada 1,082 unit.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah, bulan Januari lalu agak sukar bagi industri automotif di Malaysia.
“Kami mempunyai harapan yang tinggi dan momentum yang dibina pada akhir tahun lalu dibawa ke tahun ini terutamanya selepas pengumuman insentif Penjana sehingga pertengahan tahun.
“Malangnya, pengumuman PKP kali kedua telah menghampakan harapan itu. Namun demikian, Proton dan ahli-ahli industri automotif menyokong sepenuhnya langkah yang diambil pihak kerajaan untuk mengawal kadar jangkitan,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, keselamatan rakyat Malaysia perlu diutamakan dan syarikat-syarikat perlu menukar strategi kalau mahu mencapai matlamat dalam keadaan pasaran yang telah berubah.