BANGKOK – Seorang penghantar makanan syarikat Foodpanda di Thailand dirakam mendayung sampan untuk menghantar pesanan makanan kepada pelanggan.
Menurut portal berita Thaiger News kelmarin, penghantar makanan lengkap memakai seragam Foodpanda dan bertopi keledar itu terpaksa mendayung sampan kerana pelanggannya sedang memancing di Sungai Bang Pakong dalam wilayah Chachoengsao, tengah Thailand.
Gambar penghantar makanan itu dimuat naik di laman Facebook bersama kapsyen: “Foodpanda telah melancarkan perkhidmatan penghantaran melalui jalan air.”
Rupa-rupanya, penghantar makanan itu tidak tahu dia perlu menggunakan sampan ketika bersetuju menerima pesanan pelanggan.
Ini kerana, lokasi yang diberi pelanggannya hanya mengatakan dia berada di sungai itu.
Apabila tiba di lokasi yang diberikan, penghantar makanan itu menghubungi pelanggan yang juga kenalannya sebelum diberitahu dia sedang memancing.
Penghantar makanan itu terpaksa meminjam sebuah sampan bermotor yang berlabuh di jeti sungai untuk ke lokasi pelanggan.
Media Thailand melaporkan, pemandu itu tidak menerima bayaran tambahan untuk penghantaran khas yang dilakukannya. – Agensi