PENULIS ada banyak perkara ingin diperkatakan tentang penyanyi muda berbakat besar, Vanessa Reynauld. Bukan hanya tentang lagu debutnya, Putus yang sedang berlegar mengisi halwa telinga ramai, bahkan mengenai dirinya sebagai seorang penyanyi berpotensi besar untuk mewangi dalam industri.
Sebagai permulaan, lebih baik bercakap tentang single perdananya yang juga akan menjadi lagu tema atau OST drama bersiri yang sedang merobek-robek perasaan menerusi televisyen, Takdir Yang Tertulis.
Vanessa merupakan seorang penyanyi yang hebat, itu tidak dapat dinafikan. Masih jauh perjalanannya dalam industri. Putus pula boleh disifatkan sebagai karya dengan melodi yang baik, begitu juga kualiti liriknya.
Dua tiga kali meminjamkan telinga ‘mengamati’ lagu ciptaan komposer ‘duo’ yang sentiasa bersama, Amylea dan Farouk itu, penulis masih tercari-cari kekuatan nukilan berkenaan.
Jangan salah sangka, seperti yang penulis katakan pada perenggan awal, lagu itu bagus. Tinggal lagi, Putus agak tidak ‘mesra radio’ atau terma yang paling tepat sekarang, ‘mesra Spotify’.
Berkali-kali penulis menghabiskan masa untuk mencari ‘gist’ atau titik letak lagu berkenaan, namun tidak bertemu. Mungkin mengambil masa yang sedikit lama untuk ‘bermesra’ dengan keseluruhan lorong lagu dan liriknya. Apa yang dikatakan di sini, sukar untuk Putus melekat dalam minda.
Seperkara lagi, Putus juga kedengaran masih tidak boleh lari daripada templat lazim ‘Amylea-Farouk’ yang sangat kedengaran melankolik persis buatan Melly Goeslaw’.
Faktor ‘X’
Adakah Putus lagu cinta atau kasmaran yang tidak berjodoh lama yang bagus? Jawapannya, ya!
Jika tiada faktor ‘X’ yang boleh membuatkan lagu lagu berkenaan diingati dan siapa tahu, sangkut dalam carta lagu popular radio atau laman penstriman, itu perkara yang yang dikhuatiri penulis.
Hal ini kerana, Vanessa seorang vokalis yang cemerlang secara teknikal, namun dari segi emosi atau penghayatan yang didokumentasikan dalam karya, itu antara elemen yang masih banyak perlu dipelajari.
Sebagai contoh, kalau pertama kali penulis mendengar lagu berkenaan menerusi radio tanpa mengetahui penyanyi sebenar, barangkali dapat mengagak yang melantunkan vokal lagu Putus , tentunya Vanessa. Dia seorang penyanyi muda yang cukup dikagumi penulis sendiri.
Penulis percaya, mereka yang bertanggungjawab untuk meluncurkan karya berkenaan kepada umum sudah melakukan yang terbaik. Namun, masih banyak ruang yang boleh diperbaiki terutama untuk mengetengahkan bakat Vanessa.
Bagaimanapun, pujian harus diberikan terhadap kualiti muzik video Putus yang kini sudah boleh ditonton menerusi YouTube. Ketika menyaksikan video muzik berkenaan, hati mudah terjentik apabila kebahagian dua jiwa terpisah disebabkan urusan ajal.
Berbalik soal Vanessa dan lagu debutnya, tidak mengapa jika Putus tidak terlalu menonjolkan dirinya di persada seni tanah air. Ingat, Rom tidak dibina dalam sehari.
Penulis merasakan jika tidak kerana PKP, Vanessa pastinya sedang bebas ke hulur ke hilir mendendangkan Putus di mana sahaja termasuk undangan program televisyen dan hasilnya pasti lain.
Penyanyi bertaraf vocal powehouse seperti Ernie Zakri dan Aina Abdul pun mengambil sedikit ‘lajak’ untuk berada pada tahap yang mereka. Jadi, untuk Vanessa, selamat maju jaya dan tahniah untuk kelahiran single perdana anda!