JELEBU – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan menyelamatkan seekor kambing gurun betina yang terperangkap dalam kolam Kajian Perikanan Air Tawar Glami Lemi di sini semalam.
Haiwan itu atau nama saintifiknya Capricornis sumantreansis dipercayai tersesat dan terjatuh dalam kolam berkenaan.
Menurut jurucakap jabatan itu, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian tersebut pada 8 pagi.
“Seramai 12 anggota Jabatan Perhilitan pergi ke lokasi dan haiwan itu dapat dinaikkan ke darat.
“Kami menggunakan jaring untuk menaikkan kambing dari kolam dan tahap kesihatannya baik namun sedikit keletihan. Haiwan itu tidak cedera,” katanya di sini hari ini.
Jurucakap itu memberitahu, haiwan tersebut masuk semula ke hutan yang berhampiran.
Kakitangan Perhilitan akan melakukan pemantauan di sekitar kawasan hutan berkenaan bagi memastikan kambing gurun tersebut selamat.
Sementara itu, seorang penduduk, Abdullahros Mohd, 48, memberitahu, sejak 10 tahun kebelakangan ini, kelibat sepasang kambing gurun kerap dilihat di lereng bukit berhampiran Felda Titi.
“Saya harap tiada pemburu haram menembak kambing gurun ini dan pihak Perhilitan selalu memantau lokasi ini.
“Kambing gurun ini spesis semakin pupus,” tegasnya. – K! ONLINE