PETALING JAYA- Penamatan Program Subsidi Upah (PSU) dijangka tidak akan menyumbang kepada masalah pemberhentian kerja atau peningkatan kadar pengangguran dalam kalangan rakyat di negara ini.
Berdasarkan tinjauan yang dijalankan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) tahun lalu mendapati hanya 15 peratus daripada responden merancang untuk menghentikan pekerja jika PSU ditamatkan.
Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, 29 peratus responden pula bercadang meningkat pekerja manakala 56 peratus mengekalkan pekerja sedia ada.
“Berdasarkan penemuan itu,dapat dirumuskan bahawa penamatan PSU dijangka tidak akan meningkatkan kadar pemberhentian pekerjaan dan pengangguran.
“Tinjauan ringkas (snap survey) yang dijalankan secara dalam talian itu turut bertujuan menilai impak penamatan PSU ke atas pekerjaan yang bermula 30 Oktober hingga 22 November 2020,” katanya di sini tadi.
Tinjauan dilaksanakan Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan EIS-UPMCS (EU-ERA) meliputi 469 syarikat yang menerima PSU.
PSU dirangka oleh kerajaan sebagai bantuan kewangan langsung kepada syarikat untuk mengekalkan pekerjaan semasa berlakunya Covid-19.
Program PSU 1.0 yang dilancarkan pada 1 April 2020 merangkumi bantuan kewangan selama enam bulan dan bantuan ini dilanjutkan selama tiga bulan lagi di bawah PSU 2.0. -K! ONLINE