Oleh ISWAN SHAFIQ ISA
SEBERANG PERAI – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membongkar kegiatan membungkus semula minyak masak bersubsidi selepas menyerbu dua premis di Bukit Minyak, Bukit Mertajam di sini hari ini.
Hasil serbuan kira-kira pukul 2 petang itu, sebanyak 617 botol minyak masak dan 7,771 plastik kosong minyak masak bersubsidi bersaiz 1 kilogram (kg) telah dirampas.
Difahamkan, premis itu menjalankan kegiatan membungkus semula minyak masak bersubsidi ke dalam botol 5 kg untuk mengaut keuntungan selepas ia dijual semula.
Pengarah KPDNHEP negeri, Mohd. Ridzuan Ab. Ghapar berkata, pihaknya turut menahan dua individu iaitu pekerja dan pemilik premis tersebut untuk membantu siasatan.
“Serbuan bersama polis itu dibuat selepas risikan selama hampir dua bulan susulan aduan yang mengatakan bahawa premis-premis tersebut menjalankan proses pemindahan minyak masak bersubsidi ke dalam bekas minyak masak lain.
“Dalam serbuan itu, kita turut merampas kira-kira 420 bungkusan berisi rempah ratus yang kita syaki ia menggunakan logo halal tanpa kebenaran.
“Keseluruhan nilai rampasan minyak masak dan rempah itu dianggarkan berjumlah RM27,000,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati premis berkenaan telah beroperasi sejak beberapa tahun lalu, manakala minyak masak yang dibungkus semula itu dijual di pasaran negeri ini.
Menurutnya, pemilik premis akan disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Perkara 4(1)(a) Perintah Kawalan Dagangan (Perakuan dan penandaan halal) 2011.
Beliau berkata, mana-mana pengguna atau saksi yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi bilik gerakan KPDNHEP negeri di talian 04-3840245 atau menerusi portal e-aduan KPDNHEP. – K! ONLINE