TANGKAK – Tindakan seorang lelaki Pakistan yang cuba memberi rasuah kepada pegawai polis wanita mengundang padah apabila dia ditahan dalam sekatan jalan raya di Plaza Tol Bukit Gambir di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian pukul 4.30 pagi itu, lelaki berusia 37 tahun didakwa cuba merasuah polis wanita berpangkat inspektor dengan seutas rantai emas bagi tujuan melepaskan diri kerana merentas negeri tanpa permit.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Mohd. Fadhil Minhat berkata, sewaktu sepasukan pegawai dan anggota sedang mengadakan sekatan jalan raya suspek yang memandu kereta jenis Honda City.
“Bagaimanapun, lelaki itu gagal mengemukakan dokumen untuk rentas negeri sebelum ditahan untuk siasatan.
“Namun, sewaktu disoal mengenai maklumat diri oleh pegawai bertugas, suspek telah bertindak membuka rantai emas di lehernya dan diletakkan dalam beret polis di atas meja sebagai tanda suapan.
“Suspek juga sempat menawarkan sejumlah wang yang tidak dinyatakan nilai sebagai imbuhan untuk melepaskan diri,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak di sini hari ini.
Mohd. Fadhil berkata, rantai emas bernilai RM2,100 itu dirampas dan suspek kemudian ditahan di bawah Seksyen 214 Kanun Keseksaan kerana menawarkan hadiah atau pemulangan harta sebagai balasan mengelakkan pesalah.
Tegasnya, suspek juga disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan berikutan perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan apa-apa penyakit berbahaya kepada nyawa.
“Suspek kini direman di bawah Seksyen 51(5)(B) Akta Imigresen 1959/63 dan turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki sebarang dokumen yang sah,” katanya. – K! ONLINE