MANCHESTER – Kapten Manchester United, Harry Maguire mengakui bahawa hanya kejayaan menjulang trofi Liga Perdana Inggeris mampu menutup mulut para pengkritiknya dan pasukan itu.
Musim ini memberi harapan buat United untuk mengejar kejuaraan buat kali pertama selepas kali terakhir mereka melakukannya pada 2013.
Maguire sedar kejayaan United sepanjang di bawah kendalian Alex Ferguson menyebabkan pasukan itu mempunyai ramai peminat dan tidak kurang juga mereka yang tidak suka dengan kejayaan yang dikecapi mereka.
Ketika ditanya sama ada dia gembira dengan situasi tersebut, Maguire mengakui ia bukanlah satu masalah besar buatnya.
“Saya gembira dan tidak kisah dengan situasi berkenaan.
“Apabila saya berjaya menjulang trofi itu bersama kelab ini nanti, ia akan membuatkan saya tersenyum lebar kerana ramai yang tidak mahu melihat kami melakukannya.
“Kami adalah sebuah kelab di mana ramai yang bercakap mengenainya di seluruh dunia. Ramai yang mahu melihat kami gagal. Kami terpaksa hidup dalam keadaan seperti itu tetapi ia membuatkan kami lebih bersemangat dan terbiasa,” katanya.
United mempunyai peluang untuk menyamai mata seteru setempat mereka, Manchester City sekurang-kurangnya untuk tempoh 24 jam sekiranya berjaya menewaskan Everton biarpun skuad kendalian Pep Guardiola itu memiliki kelebihan kerana kekurangan satu perlawanan.
“Perbandingan ketika pertama kali saya melangkah ke kelab ini, saya fikir kami sudah banyak meningkat.
“Kami perlu mula menjadi pencabar kejuaraan dalam liga ini dan memenangi gelaran supaya kami mampu untuk menjulang lebih banyak trofi selepas ini dan bersaing dalam pertandingan yang lebih besar,” jelasnya. – AGENSI