Oleh AZIZAN HASHIM
KEMELUT kewangan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) dan Perak FC berakhir dengan campur tangan daripada kerajaan negeri semalam.
Sehubungan itu, tunggakan gaji sebulan setengah pemain Perak FC dan pegawai Perak FA berjumlah RM3.8 juta akan dilangsaikan apabila mereka mula menerima gaji masing-masing pada Selasa depan.
Keprihatinan kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad mengubah senario suram kepada kegembiraan buat pemain dan pegawai Perak FC yang menyifatkan bayaran tunggakan itu sebagai ‘angpau’ sempena sambutan Tahun Baru Cina kali ini.
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Khairul Shahril Mohamed ketika dihubungi berkata, ini adalah komitmen kerajaan negeri untuk menjaga kebajikan para pemain serta pegawai Perak.
Katanya, kesemua terlibat akan menerima bayaran terus melalui akaun masing-masing termasuk bayaran untuk Januari.
“Alhamdulillah kita berjaya mendapat dana bagi menyelesaikan kemelut kewangan PAFA melalui sumbangan daripada syarikat- syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
“Ini adalah komitmen kerajaan negeri terhadap pemain dan bola sepak Perak,” kata Ahli Dewan Undangan (ADUN) Bota itu.
Shahril yang juga salah seorang Pengerusi Lembaga Pengarah Perak FC berkata, tumpuan kini ialah untuk memenuhi semua syarat dan keperluan bagi pendaftaran pemain oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sebelum 12 Februari ini.
“Setiap pemain perlu menjalani ujian kesihatan serta membuat ujian calitan jika ingin menyertai Liga Malaysia (Liga M) musim ini,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Shahril memaklumkan bahawa satu pertemuan telah diadakan antara pemain serta jurulatih dengan Menteri Besar Perak semalam.
Katanya, pemain diwakili oleh kapten, Shahrul Mohd. Saad dan Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy manakala jurulatih Mehmed Durakovic dan pembantunya Sharil Nizam Khalil hadir dalam pertemuan di pejabat Saarani.